Amirudin Bakal Kekal MB Selangor – PM

amirudin mb selangor

Amirudin Bakal Kekal MB Selangor – PM

SEKINCHAN, 18 Julai (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim secara rasmi hari ini mengumumkan bahawa Datuk Seri Amirudin Shari bakal dikekalkan sebagai Menteri Besar sekiranya Kerajaan Perpaduan terus menerajui Selangor selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) berakhir bulan depan.

Beliau berkata cadangan bagi mengekalkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua itu dibuat berikutan prestasi Amirudin dalam mentadbir negeri, yang menyaksikan negeri itu berada pada kedudukan terbaik dalam pertumbuhan ekonomi negara.

“Pertumbuhan ekonomi kita suku tahun pertama, Selangor nombor satu, jadi sebab itu saya cadang untuk kekalkan Amirudin sebagai menteri besar.

“Yang ini kali pertama saya umum secara rasmi. Dia (Amirudin) pun terkejut. Sebab pertumbuhan ekonomi baik,” katanya semasa berucap merasmikan Program Sentuhan Agro MADANI peringkat negeri Selangor di MSekin Wonderland, di sini, hari ini.

Anwar berkata Selangor perlu terus diterajui Kerajaan Perpaduan agar ia terus kuat sekali gus memastikan perancangan negeri itu selari dengan kerajaan Pusat.

BACA: Amirudin Luah Hasrat Terus Terajui Kerajaan Selangor

“Kita perlu baiki (beberapa perkara) sebab itu mahu kerajaan negeri yang kuat. Bila kerajaan negeri kuat dia boleh bersama dengan Kerajaan Perpaduan dan Persekutuan. Berpakat dan kita boleh bantu. Kadang-kadang kerajaan negeri ini keupayaannya terbatas,” kata Perdana Menteri.

Di Selangor, kedudukan semasa kerusi sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 23 Jun ialah Pakatan Harapan (PH) mempunyai 40 kerusi merangkumi PKR (19), DAP (15), Amanah (enam), sementara Barisan Nasional (lima), Bersatu (empat), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (dua) manakala PAS, Pejuang dan Warisan, masing-masing satu kerusi serta seorang wakil rakyat Bebas.

Kerusi DUN Batang Kali pula diisytiharkan kosong pada Februari lepas, setelah wakil rakyatnya tidak hadir ke persidangan DUN melebihi enam bulan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan diadakan serentak dengan 12 Ogos sebagai hari pengundian, manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos.

Sumber: BERNAMA

The post Amirudin Bakal Kekal MB Selangor – PM appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*