Anak Meninggal Dunia Terhidu Aeorosol Deodoran, Ibu Bapa Mahu Label Produk Papar ‘Tanda Amaran’ Lebih Jelas

meninggal terhidu deodoran aerosol

Ibu bapa kepada seorang gadis England yang meninggal dunia akibat terhidu deodoran aerosol mahu tanda amaran dalam label produk diletakkan dengan lebih jelas supaya orang ramai sedar mengenai tahap bahaya produk terbabit, lapor BBC.

Sebelum ini media melaporkan mangsa, Giorgia Green berusia 14 tahun meninggal dunia selepas mengalami serangan jantung akibat terhidu semburan deodoran aerosol di bilik tidurnya dalam kejadian pertengahan tahun lalu.

Dalam pada itu, Persatuan Pengilang Aerosol Biritsh (BAMA) memberi maklum balas kepada kenyataan tersebut dengan berkata dalam setiap produk deodoran sudah mempunyai ‘amaran yang sangat jelas’.

Dalam satu kenyataan, BAMA berkata pihaknya memandang serius mengenai sebarang insiden yang melibatkan produk aerosol.

“Sebagai persatuan industri kami bekerjasama dengan pengilang untuk memastikan bahawa aerosol dibuat mengikut piawaian keselamatan tertinggi dan dilabelkan dengan amaran serta arahan penggunaan yang sangat jelas,” katanya.

Mengikut undang-undang, deodoran aerosol mesti dicetak dengan amaran ‘Jauhkan daripada kanak-kanak’, bagaimanapun ibu bapa Giorgia mendakwa tulisan tersebut kecil.

Kebanyakan deodoran aerosol juga mempunyai amaran yang mengatakan ‘Penyalahgunaan produk ini boleh membunuh serta-merta’.

Amaran tersebut difahamkan bukan keperluan dalam undang-undang tetapi disyorkan oleh BAMA kerana risiko orang yang terhidu aerosol secara sengaja menjadi tinggi.

Ibu bapa Giorgia percaya amaran itu harus ditukar kepada ‘Penggunaan pelarut boleh membunuh serta-merta’ kerana Giorgia tidak menyalahgunakan deodoran.

Mereka juga percaya ramai ibu bapa yang membuat pembelian deodoran untuk anak-anak, telah membeli tanpa menyemak tanda amaran di label produk itu kerana kecil.

“Orang ramai tidak tahu betapa bahayanya kandungan yang berada dalam tin itu.

“Kalau boleh saya tidak mahu orang ramai di negara ini atau dunia melalui apa yang telah kami lalui. Kami juga tidak mahu kematian anak perempuan kami menjadi sia-sia,” kata bapa Giorgia.

Mangsa terbaring tidak bernyawa

Imbas kembali semasa kejadian yang berlaku pada 11 Mei 2022, kakak mangsa menyedari mangsa tidak bergerak di bilik tidurnya.

“Pintunya terbuka, jadi ia bukan persekitaran yang tertutup. Berapa banyak deadoran yang sudah dipakai tidak jelas, tapi ia lebih daripada kadar biasa yang digunakan orang lain,” ujar kakak mangsa.

Satu penyiasatan kehakiman iaitu inkues telah dijalankan terhadap kematian Giorgia dan ia dikategorikan sebagai kes yang tidak dapat dipastikan (puncanya).

Punca kematiannya ditetapkan sebagai ‘tidak dapat dipastikan tetapi konsisten (dikaitkan) dengan penyedutan aerosol’.

Difahamkan, Giorgia menghidap penyakit autisme dan bapanya berkata dia suka menyembur deodoran pada selimut kerana baginya bau itu memberikannya ketenangan.

“Bau deodoran itu memberikan dia bau yang tertentu seperti ketenangan.

“Sekiranya dia berasa agak cemas, dia akan menyembur semburan ini dan ia akan memberikannya rasa selesa kerana ia adalah deodoran yang digunakan oleh isteri saya,” tambah bapa mangsa.

Sumber: BBC

The post Anak Meninggal Dunia Terhidu Aeorosol Deodoran, Ibu Bapa Mahu Label Produk Papar ‘Tanda Amaran’ Lebih Jelas appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*