Anak muda dipengaruhi media sosial punca UMNO kalah

KUALA LUMPUR – Tiga faktor utama kekalahan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah emosi pengundi, pemikiran muda sesetengah pengundi muda dan politik wang.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, emosi pengundi khususnya anak muda dipengaruhi dengan manipulasi influencer (pengsohor) di media sosial seperti TikTok.

Kata beliau, mesej disampaikan kepada mereka berbeza iaitu untuk anak muda di bandar dengan pendekatan `trending’, manakala di luar bandar khususnya Melayu dengan faktor agama.

“Gelombang tiga faktor ini menyaksikan bukan sahaja nama besar daripada parti kita kalah, malah pihak Pakatan Harapan (PH) sebagai contoh menyaksikan calon muda Permatang Pauh di tapak kuasa Parti Keadilan Rakyat (PKR) selama ini juga kalah.

“Calon-calon parti pimpinan (bekas Perdana Menteri) (Tun) Dr. Mahathir Mohamad (Pejuang) bukan sahaja kalah, malah hilang deposit,” katanya ketika sesi Penggulungan Ucapan Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Oleh demikian, katanya, sesuai dengan cadangan wakil Wanita dalam perbahasan semalam supaya UMNO kembali ke ‘drawing board’, lakukan ‘total reform’ dan melakukan perubahan serta pembaharuan.

“Kita perlu fokus dengan idea-idea baharu untuk bergerak ke hadapan. Kita perlu mengambil kira halatuju yang telah saya gariskan dalam Ucapan Dasar.

“Perubahan gerak kerja dengan penggunaan teknologi terkini serta media baharu, saya mahu Wanita, Pemuda dan Puteri duduk sekali. Bincang dan perahlah pemikiran.

“Dalam tempoh sebulan saya harap ada dapatan-dapatan dan cadangan-cadangan baharu yang boleh diangkat kepada parti. Buatlah bengkel atau brainstorming segera antara Exco Wanita, Pemuda dan Puteri,” jelasnya.

Katanya, tindakan tersebut perlu dilakukan kerana inilah perkara yang telah dilontarkan oleh kebanyakkan jurucakap.

“Kedah mahu pendekatan digitalisasi. Selangor juga mahu kaedah terbaharu dengan menggunakan teknologi dan media baharu digarap,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

The post Anak muda dipengaruhi media sosial punca UMNO kalah appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*