Jambatan rosak, penduduk takut jatuh sungai

DUNGUN – Lebih 1,000 penduduk di Kampung Durian Mentangau terjejas apabila sebuah jambatan yang merupakan la­luan utama ke bandar Dungun dan Paka di sini, rosak teruk berikutan banjir besar pada pertengahan bulan lalu.

Jambatan tersebut mengalami kerosakan serius akibat mendapan tanah sehingga dikhuatiri merisikokan keselamatan pengguna.

Salah seorang penduduk, Mohd. Fadhil Mat Salleh, 38, berkata, mendapan tanah tersebut menyebabkan hanya satu laluan di atas jambatan itu boleh dilalui pada satu-satu masa pada masa ini.

“Jambatan itu memang selalu rosak sebelum ini walaupun te­lah dibaiki banyak kali.

“Begitupun, kerosakan terbaharu ini lebih teruk sehingga membentuk lubang pada struktur jambatan kerana mendapan dan hakisan,” katanya ketika ditemui di Kampung Durian Mentangau di sini semalam.

Mohd. Fadhil berkata, dia dan penduduk kampung bimbang jambatan itu mungkin runtuh sepenuhnya sekiranya kerja-kerja pembaikan tidak dilakukan segera.

Seorang lagi penduduk, Zaidi Salleh, 45, berkata, dia tidak berani membahayakan nyawa untuk melalui jambatan berkenaan.

“Sejak dua minggu lalu, saya lebih sanggup melalui laluan alternatif di Jalan Che Lijah di sini yang lebih jauh kira-kira 15 kilometer asalkan keselamatan terjamin. Apa pun saya mohon agar kerosakan jambatan berkenaan dibaiki segera,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah dan Tanah Dungun, Jusman Ibrahim berkata, buat masa ini, Jambatan Kampung Durian Mentangau tersebut hanya boleh dilalui kenderaan ringan.

Beliau berkata, Jabatan Kerja Raya telah memasang palang had ketinggian kenderaan sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan kenderaan berat melalui jambatan tersebut. -KOSMO! ONLINE

The post Jambatan rosak, penduduk takut jatuh sungai appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*