Anggota SAR Cerita Detik Selamatkan Lima Sekeluarga Gempa Bumi Turkiye

anggota sar gempa bumi turkiye

Anggota SAR Cerita Detik Selamatkan Lima Sekeluarga Gempa Bumi Turkiye

GAZIANTEP (Turkiye), 22 Feb (Bernama) — “Janganlah runtuh, janganlah runtuh,” itu antara yang bermain dalam fikiran dua anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) negara ketika menggali terowong dan memotong besi konkrit yang berselirat bagi menyelamatkan lima sekeluarga mangsa gempa bumi pada 11 Feb lepas.

Kebimbangan E. Saravanan dan Shahidi Mat Saad itu berasas kerana sehari sebelumnya berlaku beberapa gegaran kecil di kawasan operasi mereka di Nurdagi.

Walaupun risau perkara buruk mungkin berlaku, anak jati Parit Buntar dan Tanjung Piandang di Perak itu tidak menoleh ke belakang sebaliknya terus menggali terowong sepanjang lebih dua meter menggunakan pemotong besi hidrolik dan pemecah konkrit.

Bagi mengukuhkan dinding terowong kecil selebar setengah meter itu, Saravanan berkata mereka menggunakan topang penahan beban sementara agar tidak runtuh.

Tubuh badan Saravanan yang kurus tinggi dan Shahidi yang kecil dan rendah ibarat kerja SAR seperti itu memang ditakdirkan untuk mereka.

Saravanan berkata selepas selesai membina terowong berkenaan, alat pengusung kemudian diturunkan dan mereka berjaya mengeluarkan mangsa dengan kerjasama pasukan SAR tempatan seorang demi seorang dan diserah kepada paramedik.

“Kita ambil masa dalam sejam untuk keluarkan semua mangsa,” katanya.

Bagaimanapun, tugas mereka di situ belum selesai apabila seorang daripada mangsa memberitahu terdengar suara bayi menangis ketika terperangkap dalam runtuhan konkrit bangunan kediaman setinggi tujuh tingkat itu yang terletak 1.3 kilometer dari Stadium Nurdagi, lokasi pangkalan operasi pasukan SAR negara.

BACA: Tular Rakaman Didakwa Ketika Gempa Bumi Terbaru Di Turkiye

Anggota ketiga pasukan itu, Mohamad Hafiz Abdul Razak kemudian memberanikan diri masuk ke dalam terowong itu semula untuk mencari bayi yang dimaksudkan itu.

Beliau bagaimanapun gagal menemui bayi berkenaan selepas menyusup di celah-celah runtuhan berbahaya itu selama 20 minit.

Mohamad Hafis berkata walaupun berat hati untuk menamatkan usahanya mencari bayi yang dimaksudkan, beliau terpaksa beralah kerana ketika itu terlalu ramai anggota pasukan SAR tempatan berada di tempat runtuhan dan dikhuatiri akan berlaku runtuhan susulan.

Saravanan, Shahidi dan Mohamad Hafiz merupakan sebahagian daripada 24 anggota MAS-01 SMART diketuai Insp Muhamad Zul Khairi Idris yang berjaya mengeluarkan mangsa pada 2.20 petang Sabtu (11 Feb).

Gempa bumi besar berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria pada 6 Feb lepas itu, meragut puluhan ribu nyawa dan kesan gegaran turut dirasai di Cyprus serta Lubnan.

Susulan itu, Turkiye mengisytiharkan darurat selama tiga bulan di 10 wilayah iaitu Adana, Adiyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kahramanmaras, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa bagi memastikan misi SAR berjalan lancar.

Sumber: BERNAMA

The post Anggota SAR Cerita Detik Selamatkan Lima Sekeluarga Gempa Bumi Turkiye appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*