Angin kencang, laut bergelora di beberapa kawasan perairan

PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora melibatkan beberapa kawasan bagi tempoh tertentu.

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan, amaran angin kencang dan laut bergelora (kategori pertama) dilaporkan melibatkan Seksyen A iaitu untuk perairan Malaysia.

“Angin kencang timur laut berkelajuan 40-50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter (m) dijangka di kawasan perairan Pahang, Terengganu dan Kelantan sehingga hari ini.

“Selain itu, amaran turut dikeluarkan dijangka di kawasan perairan Sabah Timur dalam tempoh 11 hingga 14 Januari,” katanya pada hantaran tersebut.

Ujarnya, keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

Bagi Seksyen B perkapalan pula, amaran angin kencang dan laut bergelora (kategori kedua) melibatkan angin kencang timur laut berkelajuan 50 hingga 60 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter.

“Ia dijangka di kawasan perairan utara Condore serta barat laut Reef North sehingga hari ini. Keadaan ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri,” katanya.

Seterusnya amaran angin kencang dan laut bergelora (kategori pertama) melibatkan kawasan perairan Samui, Tioman, selatan Condore, utara Bunguran, Reef North dan Layang-Layang sehingga hari ini.

Amaran sama turut dikeluarkan melibatkan di perairan timur Palawan dan Sulu dalam tempoh 11 hingga 14 Januari. – KOSMO! ONLINE

The post Angin kencang, laut bergelora di beberapa kawasan perairan appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*