Anjing Ditinggalkan Dalam Hutan Ketika Kecil, Hidup Bersama Sekumpulan Koyote Selama 6 Bulan

Anjing hidup koyote

Anjing Ditinggalkan Dalam Hutan Ketika Kecil, Hidup Bersama Sekumpulan Koyote Selama 6 Bulan

Seekor anjing yang dipercayai telah ditinggalkan di Gurun Nevada ketika kecil kini diselamatkan selepas hidup sekurang-kurangnya enam bulan bersama dengan sekumpulan koyote.

Penduduk Inspirada, kejiranan pinggir bandar di Henderson, Nevada sudah biasa melihat sekumpulan koyote berkeliaran di jalanan pada waktu malam.

Namun, sejak beberapa bulan lalu, ramai daripada penduduk di kejiranan itu telah menyaksikan sesuatu yang pelik.

Penduduk telah terlihat seekor anjing putih bersama dengan sekumpulan pemangsa liar sedang mencari makanan sebelum melarikan diri sebaik sahaja seseorang cuba mendekatinya.

Gambar: Oddity Central

Difahamkan, ada yang memanggilnya anjing koyote tetapi ia menjadi lebih terkenal sebagai “Ghost” kerana warnanya yang putih dan sering kali hilang sebaik sahaja ada yang cuba menangkapnya.

Laporan mengenai kehadiran Ghost dalam kumpulan koyote liar itu bermula sejak sekurang-kurangnya enam bulan, lapor Oddity Central.

Pakar haiwan percaya bahawa Ghost telah ditinggalkan di gurun ketika masih kecil dan kemudian entah bagaimana diterima hidup bersama kelompok koyote itu.

Baca: Boleh Jimat Masa, Ini Cara Nak Buat Umrah 3 Kali Tanpa “Apply” Cuti Panjang

Rakaman video dari Inspirada di sekitar kejiranan Nevada menunjukkan anjing liar itu berlari bersama beberapa ekor koyote yang lain.

Malah, ada yang mendakwa bahawa anjing berkenaan bukan sahaja sebahagian daripada kumpulan itu, tetapi ketuanya.

“Nampaknya dia mungkin telah ditinggalkan di sana antara tujuh dan lapan bulan, entah bagaimana koyote itu menerimanya,” kata Susan Mc Mullen dari Pasukan Perangkap Nevada Selatan kepada KSNB Local 4.

Walaupun anjing itu berada bersama dengan koyote, ia tidak dianggap sebagai masalah sehingga penduduk menyedari bahawa dia telah menjadi lemah.

Terdapat kebimbangan bahawa koyote boleh menyerang Ghost kerana kelemahannya, jadi penduduk bertindak menghubungi syarikat perangkap untuk cuba menyelamat.

Menurut Oddity Central, para penduduk berkongsi peta laluan yang sering dilalui oleh Ghost.

Susulan daripada itu, para pemburu menjejaki pergerakan Ghost kira-kira dua minggu untuk menentukan di mana dia kerap kunjungi.

Mereka akhirnya memasang perangkap dan menunggu sekitar enam jam untuk anjing itu termakan umpan.

Walaupun hidup dengan koyote selama hampir setengah tahun, Ghost ternyata adalah anjing yang paling jinak dan penyayang.

Dia nampaknya seperti merindukan sentuhan kerana suka dibelai dan dipegang oleh penyelamat seolah-olah tidak menyimpan rasa dendam terhadap manusia.

Gambar: Oddity Central

Anjing tersebut kini dirawat kerana mengalami beberapa masalah kesihatan termasuk patah jari kaki yang perlu dipotong, jangkitan kulit dan telinga.

Selain itu, terdapat beberapa batu di perutnya yang dipercayai termakan akibat kelaparan yang melampau.

“Dia mempunyai beberapa batu di perutnya kerana dia mungkin lapar dan makan beberapa batu,” kata penyelamat anjing itu.

Jadi, kami hanya akan memantaunya dan berharap ia tidak perlu menjalani pembedahan lagi,” katanya.

Ghost masih menyesuaikan diri dengan kehidupan barunya, dia banyak berjalan dan tidak tidur pada waktu malam.

Bagaimanapun, penyelamatnya percaya bahawa dia akan menjadi haiwan peliharaan yang hebat tidak lama lagi.

Mereka juga berharap keluarga angkatnya akan memberinya peluang untuk membuktikannya.

“Saya percaya dia akan menjadi anjing terbaik kerana telah menyelamatkannya,” kata Timi Zondiros, salah seorang penyelamat Ghost.

Sumber: Oddity Central

The post Anjing Ditinggalkan Dalam Hutan Ketika Kecil, Hidup Bersama Sekumpulan Koyote Selama 6 Bulan appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*