Anwar Hadir Tayangan Perdana Filem “Anwar: The Untold Story”

Anwar hadir filem anwar

Anwar Hadir Tayangan Perdana Filem “Anwar: The Untold Story”

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini hadir ke majlis tayangan perdana “Anwar: The Untold Story” iaitu sebuah filem yang memaparkan kisah hidup serta perjuangan politik beliau.

Anwar yang ditemani isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di lokasi tayangan di Dadi Cinema, Pavillion, di sini kira-kira 8.15 malam.

Kehadiran Anwar yang juga Menteri Kewangan itu disambut meriah oleh hadirin dengan laungan “Reformasi” bergema di sekitar pawagam itu.

Turut hadir pada majlis anjuran DMY Creation yang juga pengedar rasmi filem itu ialah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil serta Pengasas dan Pengerusi DMY Creation Datuk Mohamed Yusoff.

BACA JUGA: Tayangan Pra-Tonton Filem “Anwar, The Untold Story”, PM Dijangka Hadir

Lebih 250 tetamu kehormat terdiri daripada tokoh politik, penggiat industri kreatif dan beberapa personaliti terkenal tempatan termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza juga hadir memeriahkan majlis itu.

“Anwar: The Untold Story” ialah filem arahan pengarah dari Indonesia, Viva Westi dan dibintangi pelakon tempatan popular, Farid Kamil Zahari yang memegang watak sebagai Anwar, manakala aktres terkenal Indonesia, Acha Septriasa membawa watak sebagai Dr Wan Azizah.

Filem berlatarkan tempoh antara 1993 dan 1998 itu, menceritakan mengenai perjalanan hidup Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan serta perjuangannya dalam menentang amalan rasuah.

“Anwar: The Untold Story” yang membabitkan kos RM10 juta itu akan ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 18 Mei ini.

Sumber: BERNAMA

The post Anwar Hadir Tayangan Perdana Filem “Anwar: The Untold Story” appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*