KPM Umum 10 Prakarsa Termasuk Program Cuti-Cuti Cikgu Sempena Hari Guru 2023

kpm 10 prakarsa

KPM Umum 10 Prakarsa Termasuk Program Cuti-Cuti Cikgu Sempena Hari Guru 2023

MELAKA, 16 Mei (Bernama) — Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan 10 prakarsa atau inisiatif bagi memperkasa kebajikan dan mengurangkan beban tugas guru termasuk Program Cuti-Cuti Cikgu sempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-52 tahun ini.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata inisiatif berkenaan juga bertujuan mengurangkan kos sara hidup, merancakkan ekonomi negara dan meningkatkan kesejahteraan rakyat selaras dengan tema sambutan berkenaan iaitu ‘Guru Insani Pemangkin Generasi MADANI’.

Beliau berkata antara inisiatif berkenaan ialah menyediakan peluang merehatkan minda melalui Program Cuti-Cuti Cikgu mampu milik dengan kerjasama kerjasama rakan strategik KPM.

“Program ini ditawarkan melalui potongan harga tiket penerbangan, penginapan, pengangkutan darat serta taman tema dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Tourism Malaysia), Kementerian Pengangkutan Malaysia, Airasia, Traveloka dan Bank Rakyat.

“Selain menghargai sumbangan guru menerusi peluang pakej percutian menarik, inisiatif ini turut dapat mempromosikan destinasi pelancongan dan merancakkan ekonomi negara,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran sambutan itu di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh hari ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying.

Fadhlina berkata inisiatif lain ialah KPM bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) akan terus memperkasa pengurusan pengambilan pegawai perkhidmatan pendidikan khususnya bagi mengatasi isu kekosongan guru dalam mata pelajaran kritikal.

“KPM telah memperkasakan kaedah yang lebih strategik dalam urusan pengambilan guru baharu termasuklah mempertingkat sinergi dan kerjasama strategik dengan Pihak Berkuasa Melantik serta agensi pusat yang berkaitan seperti SPP, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan.

“Beberapa kaedah dan pendekatan strategik telah dipersetujui dan akan dilaksanakan termasuk peluasan kluster mata pelajaran bagi membolehkan lebih ramai calon berpotensi dilantik sebagai guru,” katanya.

Beliau berkata selain itu, pengambilan juga diperluaskan dalam kalangan graduan berpotensi tinggi dari universiti swasta dan universiti luar negara bagi mata pelajaran kritikal dan sukar mendapat calon dari Universiti Awam seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Rekabentuk dan Teknologi dan Pendidikan Islam.

Katanya inisiatif lain ialah kebenaran dan kelonggaran pemakaian baju korporat rasmi KPM kepada semua guru institusi pendidikan bawah kementerian itu bagi memberi keselesaan semasa menjalankan tugas harian termasuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam dan di luar bilik darjah serta aktiviti kokurikulum.

Fadhlina berkata selain itu, KPM menetapkan agar sambutan Hari Guru tahunan mulai tahun ini disambut di peringkat kebangsaan dan sekolah sahaja dan sebarang kutipan sumbangan daripada guru bagi tujuan majlis tersebut dimansuhkan.

Beliau berkata prakarsa lain pula membabitkan peluasan sekolah Komprehensif K9 dengan penambahan 10 buah sekolah lagi dalam usaha mengatasi isu keciciran murid khususnya di kawasan pedalaman dan Orang Asli.

“Sehingga kini, terdapat 12 buah program Sekolah K9 yang sedang beroperasi di seluruh negara dan KPM telah memutuskan peluasan pengoperasian Sekolah K9 di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Beluru di Tumpat, Kelantan mulai Jun 2023 dengan melibatkan murid arus perdana dan Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MPBK),” katanya.

Inisiatif lain ialah berkaitan lawatan sekolah pada hari persekolahan, perluasan Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) ke negeri Sabah, mempertingkat peranan kumpulan Guru Insani Malaysia, mempertingkat peranan Yayasan Guru Tun Hussein Onn (YGTHO) dan penambahbaikan Standard Guru Malaysia 2.0.

BACA: Dapat RM31 Juta Sebab Main Game, Ini 5 ‘Gamers’ Paling Kaya Di Dunia 2023

Sumber: Bernama

The post KPM Umum 10 Prakarsa Termasuk Program Cuti-Cuti Cikgu Sempena Hari Guru 2023 appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*