Apakah Hukum Sewa Barang Pinjam Kepada Orang Lain? Ini Penjelasan Mufti Wilayah

Hukum Sewa Barang Pinjam

Apakah Hukum Sewa Barang Pinjam Kepada Orang Lain? Ini Penjelasan Mufti Wilayah

Seperti yang diketahui, setiap manusia hidup dalam satu masyarakat. Bagi mewujudkan suasana yang harmoni dan sejahtera, kita digalakkan untuk saling membantu bagi meringankan beban.

Sebagai contoh berkongsi makanan, bersedekah termasuk meminjamkan harta benda atau menyewakan kepada rakan-rakan dan orang ramai.

Namun, sesetengah individu mengambil inisiatif untuk menyewakan harta benda yang dipinjam bagi menjana pendapatan. Sebagai seorang umat Islam, tentunya timbul persoalan mengenai status ini dari segi hukum syarak.

Sehubungan itu, SK akan berkongsikan topik menarik yang disampaikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan ini di bawah. Semoga bermanfaat.

Hukum Sewa Barang Pinjam Kepada Orang Lain

Gambar:: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Soalan:

Assalamualaikum, saya ingin bertanyakan satu soalan. Saya seorang pelajar yang mewakili pasukan memanah di sebuah universiti. Seorang guru saya pernah meminjamkan peralatan memanah tanpa menetapkan tempoh penggunaan. Kemudian, saya dan rakan-rakan bercadang untuk menyewakan peralatan tersebut kepada pelajar lain untuk menjana pendapatan persatuan. Apakah hukum menyewakan barang pinjam kepada orang lain? Mohon penjelasan Datuk Mufti. Terima kasih.

BACA: Kenali Ikonik Negara, Stadium Merdeka Yang Bakal Dibuka Semula Pada Tahun Ini

Jawapan Ringkas

Hukum menyewakan barangan pinjam kepada orang lain adalah tidak dibenarkan dan tidak sah kerana tidak menepati salah satu syarat akad sewaan iaitu pemberi sewa mestilah memiliki manfaat barang yang ingin disewakan. Dalam hal ini, seorang peminjam barang hanya memiliki hak untuk menggunakan barang tersebut khusus untuk dirinya sahaja. Dia tidak memiliki manfaat barang dan tidak mempunyai hak untuk melakukan transaksi lain ke atas barang itu atau membenarkan orang lain menggunakannya.

Sekiranya peminjam telah pun melakukan akad sewaan tersebut, maka si peminjam wajib meminta keizinan daripada pemilik barang sama ada dia ingin mengambil keuntungan itu untuk dirinya, menghalalkannya kepada peminjam atau memulangkan kembali bayaran sewaan itu. Hal ini kerana hanya pemilik barang sahaja yang berhak melakukan transaksi ke atas barang tersebut.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda Rasulullah SAW, sahabat Baginda Rasulullah SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW.

Dalam istilah fiqh muamalat, perbuatan meminjam barang adalah termasuk dalam akad al-‘ariyah (العارية) yang didefinisikan oleh mazhab Syafi’i sebagai:

إباحة الانتفاع بما يحل الانتفاع به مع بقاء عينه ليرده

Maksudnya: “Kebenaran untuk memanfaatkan atau menggunakan sesuatu yang halal dimanfaatkan, dengan mengekalkan fizikal barang untuk dipulangkan kepada pemiliknya”.[1]

Jika seseorang itu diberi izin untuk meminjam sesuatu barangan daripada seseorang individu yang lain, maka dia dibenarkan untuk mengambil manfaat barangan itu tanpa memiliki fizikalnya. Sebagai contoh, Ali meminjam basikal daripada Ahmad. Justeru yang dimaksudkan di sini adalah Ali mendapat keizinan untuk menggunakan manfaat basikal tersebut, iaitu dengan menunggangnya, tetapi tidaklah memiliki fizikal basikal itu secara langsung. Oleh itu, barangan yang ingin dipinjam mestilah dengan syarat fizikalnya dapat dikekalkan, bukan seperti makanan, minuman, sabun mandi dan sebagainya yang tidak dapat dipulangkan semula setelah digunakan[2].

BACA JUGA: Hukum Puasa Selepas 15 Syaaban, Ini Penjelasan Mufti Wilayah

Dalam membincangkan tentang hukum menyewakan barang pinjam, terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian khususnya mengenai konsep al-ijarah (sewaan) dan juga al-‘ariyah (pinjaman barang).

Pertama, akad sewaan merupakan akad pertukaran yang konsepnya sama seperti akad jual beli. Namun perbezaan kedua-dua akad ini adalah pada pemilikannya. Jual beli berlaku apabila terjadinya pemindahan pemilikan barang daripada penjual kepada pembeli. Manakala akad sewaan adalah memindahkan pemilikan manfaat daripada pemberi sewa kepada penyewa.

Sebagai contoh, Ali menyewakan rumahnya kepada Ahmad. Ia bermakna Ahmad kini memiliki manfaat rumah Ali dalam tempoh tertentu, bukanlah fizikal rumahnya. Sekiranya Ahmad ingin memiliki fizikal rumah Ali sepenuhnya, maka dia perlu melakukan transaksi jual beli.

Justeru dalam transaksi akad ijarah ini, manfaat barang yang ingin disewakan mestilah dimiliki oleh pemberi sewa. Ia merupakan syarat sah bagi akad ijarah.

Suatu transaksi akad ijarah tidak akan sah sekiranya pemberi sewa tidak memiliki manfaat sesuatu yang ingin disewakan itu.

Kedua, kita perlu fahami pula konsep akad ‘ariyah yang merupakan keizinan untuk memiliki hak intifa’. Terdapat perbezaan antara memiliki intifa’ (الانتفاع) dan memiliki manfaat (المنفعة) seperti yang dibincangkan dalam konsep ijarah.

BACA JUGA: Pesilat SUKMA Terengganu Meninggal Dunia Terkena Tendangan Lawan

a. Pemilikan hak intifa’ (hak menggunakan) ialah hak yang diberikan pemilik barang kepada seseorang individu secara khusus untuk dirinya sahaja, dan dia tidak boleh memberi kebenaran kepada orang lain untuk memanfaatkan barang itu[3].

b. Manakala pemilikan manfaat ialah hak yang lebih umum dan menyeluruh, iaitu hak yang diberikan oleh pemilik barang kepada seseorang untuk memiliki suatu manfaat dan berhak melakukan transaksi terhadap manfaat barang itu, seperti memindahkan pemilikannya kepada orang lain melalui sewaan, hadiah, meminjamkan dan sebagainya. Namun hak bertransaksi ini hanya boleh dilakukan bagi orang yang memiliki manfaat, bukanlah sekadar memiliki hak intifa’[4].

Merujuk kepada persoalan tentang hukum menyewakan barang pinjam kepada orang lain, al-Rafi’i dalam Syarh al-Kabir berkata:

المنع؛ لأنه غير مالك للنفعة ألاَ ترى أنه لا يجوز له أن يؤجر، وإِنما أبيح له الانتفاع

Maksudnya: “Ia adalah dilarang. Hal ini kerana peminjam tidak memiliki manfaat barang itu, maka dia tidak boleh menyewakannya tetapi hanya dibenarkan mengguna atau memanfaatkan untuk dirinya sahaja.”[5]

 BACA JUGA: Hukum Bersiul Dalam Islam, Ini Penjelasan Dr Zulkifli

Beliau juga menerangkan bahawa orang yang diizinkan untuk menggunakan barang tiada hak untuk memberikan keizinan itu kepada orang lain. Seperti mana seorang tetamu yang dibenarkan untuk menjamah hidangan, dia tidak boleh mengizinkan orang lain untuk menjamahnya. Begitulah juga seorang peminjam barang, dia hanya berhak menggunakan manfaat itu untuk dirinya sahaja[6].

Selain itu, al-‘Imrani juga berkata:

إن استعار عينا مدة، فأجرها المستعير تلك المدة.. لم تصح الإجارة؛ لأن الإجارة معاوضة، فلا تصح إلا فيما يملكه، والمستعير لا يملك المنافع، وإنما هي ملك لمالك العين، وقد أباح له إتلافها، فلا يملك أن يملك ذلك غيره

Maksudnya: “Jika sesuatu barang diberi pinjam dalam tempoh tertentu, kemudian si peminjam menyewakannya dalam tempoh tersebut, maka tidak sah akad sewaan itu. Ini kerana akad ijarah merupakan akad pertukaran. Tidak sah melakukan transaksi kecuali jika itu adalah miliknya. Namun seorang peminjam tidaklah memiliki manfaat, bahkan ia adalah milik si pemilik barang (pemberi pinjam). Justeru seorang peminjam boleh menggunakan sepenuhnya barang itu tetapi tiada hak untuk membenarkan orang lain memilikinya.”[7]

KESIMPULAN

Berdasarkan penelitian dan pandangan-pandangan di atas, maka dapat disimpulkan bahawa menyewakan barang pinjam kepada orang lain adalah tidak dibenarkan dan akad sewaan menjadi tidak sah kerana antara syarat sah akad sewaan adalah seseorang itu mestilah memiliki manfaat barang yang ingin disewakan. Dalam hal ini, seorang peminjam barang hanya memiliki hak untuk menggunakan barang tersebut khusus untuk dirinya sahaja. Dia tidak mempunyai hak untuk melakukan transaksi lain ke atas barang itu atau membenarkan orang lain menggunakannya.

Sekiranya peminjam telah pun melakukan akad sewaan tersebut, maka si peminjam wajib meminta keizinan daripada pemilik barang sama ada dia ingin mengambil keuntungan itu untuk dirinya, menghalalkannya kepada peminjam atau memulangkan kembali bayaran sewaan itu. Hal ini kerana hanya pemilik barang sahaja yang berhak melakukan transaksi ke atas barang tersebut.

Wallahua’lam

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

The post Apakah Hukum Sewa Barang Pinjam Kepada Orang Lain? Ini Penjelasan Mufti Wilayah appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*