Pelan Penarafan Bandar Pintar Malaysia Diluluskan -KPKT

KUALA LUMPUR, 10 Oktober 2023 – Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, YB Tuan Nga Kor Ming (YB KM) telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Bandar Pintar Negara (MBPN) bertempat di Bangunan Parlimen pada pagi ini. MBPN merupakan platform bagi menetapkan dasar dan hala tuju strategik pembangunan bandar pintar di Malaysia. Ia juga turut menjadi medium perbincangan dan penyelesaian isu-isu pelaksanaan bandar pintar serta penyelarasan dan pemantauan pembangunan bandar pintar di Malaysia.

MBPN turut meluluskan cadangan Penarafan Bandar Pintar Malaysia yang julung kali diperkenalkan oleh KPKT melalui PLANMalaysia sebagai sebahagian daripada pelaksanaan Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia 2019-2025. Penarafan ini bertujuan untuk mengiktiraf peranan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang telah melaksanakan inisiatif Bandar Pintar (smart city) berpandukan kepada indikator-indikator di dalam Malaysia Standard (MS) ISO 37122:2019 (Smart City Indicator) yang merupakan standard global dibangunkan oleh International Organisation for Standardization (ISO).

Standard ini merupakan piawaian antarabangsa dan berdasarkan amalan terbaik yang telah disesuaikan dalam konteks Malaysia. Secara umumnya, program Penarafan Bandar Pintar Malaysia ini terdiri dari empat peringkat bandar pintar iaitu:

  • Tahap Pertama Smart City Early Adopter
  • Tahap Kedua Developing Smart City
  • Tahap Ketiga Leading Smart City
  • Tahap Keempat Visionary Smart City

Bagi program tahun 2023 ini, penarafan dimulakan dengan tahap permulaan (entry level) bandar pintar iaitu ‘Tahap 1-Smart  City Early Adopter’ secara sukarela (voluntary-basis) khususnya kepada PBT-PBT yang telah bersedia terhadap kriteria-kriteria yang telah ditetapkan.

KPKT menyasarkan sekurang-kurangnya kesemua 61 PBT bertaraf Majlis Perbandaran ke atas untuk mencapai status ‘Smart City Early Adopter’ pada tahun 2025. Senarai PBT yang berjaya mencapai taraf bandar pintar bagi Tahap 1- Smart City Early Adopter akan diumumkan oleh YB Menteri KPKT pada 9 November 2023 bersempena Sambutan Hari Perancang Bandar Sedunia Tahun 2023 bertempat di Putrajaya.

PBT yang telah berjaya mendapat taraf bandar pintar (Smart City Early Adopter) akan diberi keutamaan peruntukan bagi pelaksanaan inisiatif bandar pintar.

Peruntukan ini akan membantu PBT yang terlibat untuk mencapai peningkatan tahap sehingga ke tahap tertinggi penarafan iaitu Tahap 4 – Visionary Smart City sebagai sebuah ‘full fledge smart city’. Penarafan bandar pintar ini akan dilaksanakan secara tahunan untuk memberi peluang kepada semua PBT seluruh negara.

Transformasi ke arah bandar pintar dan mampan memerlukan satu usaha berterusan dan komitmen yang tinggi daripada agensi-agensi Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Kerajaan Tempatan, agensi-agensi bukan Kerajaan dan pihak swasta.

Justeru, KPKT akan terus berperanan sebagai pemangkin kepada pelaksanaan bandar pintar dan berharap Penarafan Bandar Pintar ini akan dapat memacu Malaysia ke arah Ekonomi Digital dan Negara Pintar (Smart Nation) selaras dengan gagasan Ekonomi MADANI.

The post Pelan Penarafan Bandar Pintar Malaysia Diluluskan -KPKT appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*