Apakah Hukum Simpan Patung Permainan Di Rumah?

hukum simpan patung

Apakah Hukum Simpan Patung Permainan Di Rumah?

Setiap orang mempunyai hobi di dunia ini, segelintir mereka ada yang minat memancing, melukis, menjahit dan sebagaimana.

Hobi yang dimiliki juga boleh ditukarkan kepada wang ringgit sekiranya menggunakan saluran yang betul, di mana ia boleh menjadi pendapatan sampingan.

Pun begitu, ada sesetengah hobi yang boleh memudaratkan kesihatan, agama, keluarga dan lain-lain sekiranya ia bertentangan dengan syariat Islam.

Jadi, apakah hukum bagi seseorang yang minat dengan patung permainan menyimpan barang tersebut di rumah sehingga menyediakan satu bilik khas untuknya?

Mari lihat jawapan yang disediakan di bawah ini oleh Maktabah al-Bakri.

#2119: Hobi Menyimpan Patung Permainan

Soalan:

Assalamualaikum wrt. wbt. Dato’ Seri. Apakah hukum simpan patung mainan sebagai hobi bukan untuk tujuan disembah? Adakah dikira haram?

Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan dengan sabda Nabi SAW:

لَا تَدْخُلُ الْمَلَائِكَةُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ وَلَا صُورَةُ تَمَاثِيلَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Malaikat tidak akan masuk suatu rumah yang di dalamnya mempunyai anjing dan gambar patung.”

Riwayat al-Bukhari (3225) dan Muslim (2016)

Al-Mubarakfuri berkata: Ungkapan “لَا تَدْخُلُ الْمَلَائِكَةُ” adalah dengan maksud malaikat rahmah, bukan malaikat hafazah (yang sentiasa bersama manusia dan mencatat perilakunya) dan bukan juga malaikat maut (yang mencabut nyawa). Ungkapan “بَيْتًا” adalah dengan maksud tempat tinggal. Maksud “صُورَةُ تَمَاثِيلَ” pula ialah gambar (berbentuk) manusia dan binatang. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 8/88)

Dalam hadith yang lain juga, Rasulullah SAW bersabda:

أنَّ أُمَّ حَبِيبَةَ، وأُمَّ سَلَمَةَ ذَكَرَتا كَنِيسَةً رَأَيْنَها بالحَبَشَةِ فِيها تَصاوِيرُ لِرَسولِ اللهِ ﷺ، فَقالَ رَسولُ اللهِ ﷺ: إنَّ أُولَئِكَ، إذا كانَ فِيهِمُ الرَّجُلُ الصّالِحُ، فَماتَ، بَنَوْا على قَبْرِهِ مَسْجِدًا، وصَوَّرُوا فيه تِلْكِ الصُّوَرَ، أُولَئِكِ شِرارُ الخَلْقِ عِنْدَ اللهِ يَومَ القِيامَةِ.

Maksudnya: “Bahawasanya Ummu Habibah dan Ummu Salamah Ranhuma teringat kepada tempat ibadat yang mereka pernah melihatnya di Habsyah yang terdapat patung-patung berhala di dalamnya dan menceritakannya kepada Rasulullah SAW. Maka, Rasulullah SAW bersabda: “Pada satu ketika dahulu ada seorang lelaki yang soleh kemudian dia meninggal dunia. Maka, penduduk di situ mereka membina tempat ibadah di atas kuburnya dan mengukirkan patung-patung tersebut untuknya. Mereka itulah seburuk-buruk ciptaan di sisi Allah SWT pada hari Kiamat.”

Riwayat Muslim (528)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata bahawa hadith ini menunjukkan kepada pengharaman mengukir dan menyimpan patung. ( Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 1/525)

Berkenaan patung ini, kami telah nyatakan dalam isu sebelum ini:

#563: Meletakkan Patung Sebagai Perhiasan[1]

#994 Guna Patung Harimau bagi Menghalau Monyet[2]

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan dalam isu ini ia kembali kepada maksud patung itu sendiri. Jika sekiranya ia bertujuan untuk dipuja atau disembah atau dimuliakan, maka hukumnya haram. Manakala, jika ia sekadar untuk permainan kanak-kanak, maka hukumnya diharuskan dengan syarat ia tidaklah besar dan hanya permainan kanak-kanak. Oleh itu, dalam hal menjadikan ia sebagai hobi, maka kami berpandangan meskipun memiliki patung yang kecil adalah harus, namun jika tidak dikawal dengan baik, maka ia akan membawa kepada pembaziran.

Begitu juga, dibimbangi pada peringkat awalnya patung kecil kemudian menjadi patung besar untuk dijadikan peneman tidur dan seumpamanya. Sebagai saddu al-zari’at alangkah baiknya perkara ini dijarakkan daripada rumah orang-orang Islam. Sekurang-kurangnya terkeluar daripada tasyabbuh daripada non-Muslim.

Justeru itu, kami nyatakan dibolehkan untuk menyimpan patung permainan kanak-kanak yang kecil, akan tetapi sebaiknya berpada-pada agar tidak membawa kepada pembaziran. Sebagaimana firman Allah SWT:

إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ ۖ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا ‎﴿٢٧﴾‏

Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.

Surah al-Isra’ (27)

Semoga penjelasan ini, dapat membantu kita dalam memahami Islam dengan lebih sempurna lagi. Wallahua’lam.

Sumber: Maktabah al-Bakri

The post Apakah Hukum Simpan Patung Permainan Di Rumah? appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*