Arab Saudi Mula Berpuasa Hari Ini

arab saudi berpuasa hari ini

Arab Saudi Mula Berpuasa Hari Ini

RIYADH — Seluruh umat Islam di Arab Saudi telah mula berpuasa pada 11 Mac 2024 (hari ini) selepas anak bulan kelihatan pada petang semalam, lapor Middle East Eye.

Perkara itu dimaklumkan selepas dua masjid tempatan mengeluarkan kenyataan tersebut dan difahamkan solat Tarawih telah dimulakan di Masjidil Haram selepas solat Isyak semalam.

Dalam pada itu, Persatuan Islam Amerika Utara, Majlis Fiqh Amerika Utara dan Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah turut mengikuti tarikh yang diumumkan oleh Arab Saudi.

Lubnan, Iran, Turkiye dan Emiriah Arab Bersatu antara negara yang mula berpuasa pada hari ini.

Negara Asia Tenggara Berpuasa Esok

Sementara itu, seluruh umat Islam di Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand akan mula berpuasa pada Selasa, 12 Mac.

Di Malaysia, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad semalam mengumumkan tarikh permulaan puasa bagi umat Islam di negara ini secara langsung menerusi siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM), lapor Astro Awani.

Di Singapura, Muftinya Dr Nazirudin Mohd Nasir dalam satu perkongsian video di laman media sosial Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) turut memaklumkan perkara tersebut, petik laporan Bernama.

“Mengikut kiraan hisab, anak bulan Ramadan tidak mungkin dapat dilihat di atas ufuk Singapura ketika matahari terbenam petang tadi kerana ia terlalu kecil dan tidak memenuhi syarat kriteria imkanur rukyah yang telah dipersetujui oleh negara-negara anggota MABIMS (Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura).

“Ini bererti, esok adalah hari pencukup bulan Syaaban sebanyak 30 hari. Oleh yang demikian, sukacita saya mengisytiharkan bahawa awal Ramadan pada tahun 1445 H jatuh pada lusa, Selasa bersamaan 12 Mac.” katanya.

BACA: Boleh Ke Solat Tarawih Lepas Azan Subuh? Ini Jawapan Dr Zulkifli

Sempena menyambut ketibaan bulan suci ini, Dr Nazirudin turut mengajak semua umat Islam untuk memenuhi kewajipan berpuasa dan beribadat dengan penuh penghayatan dan keihsanan.

Di Jakarta, Menteri Agama Indonesia, Yagut Cholil Qoumas mengumumkan 1 Ramadan jatuh pada 12 Mac bagi umat Islam di republik itu mula menjalani ibadah puasa.

Di Bangkok, Ketua Sheikhul Islam, Arun Boonchom berkata, umat Islam di Thailand akan mula berpuasa pada 12 Mac selepas tiada anak bulan Ramadan kelihatan semasa proses pencerapan di beberapa lokasi di wilayah selatan, selepas matahari terbenam pada Ahad.

Sumber: Middle East Eye

The post Arab Saudi Mula Berpuasa Hari Ini appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*