Bakal Jatuh Ke Bumi, Kenali Satelit ERS-2

satelit ers-2

Bakal Jatuh Ke Bumi, Kenali Satelit ERS-2

Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan jangkaan satelit ERS-2 milik Agensi Angkasa Eropah (ESA) bakal terhempas ke Bumi dalam masa terdekat.

Difahamkan, satelit berkenaan telah mengorbit bumi selama hampir tiga dekad, iaitu sejak pelancaran pada tahun 1995.

Berita mengejutkan berkenaan satelit ini telah menarik perhatian masyarakat global, yang mana kebanyakannya baru mengetahui kewujudannya.

Untuk makluman, ERS-2 merupakan sebahagian daripada program pertama ESA yang dikenali sebagai European Remote Sensing (ERS).

Antara objektif bagi program sulung ESA ini adalah untuk menyediakan pemantauan persekitaran dengan menggunakan spektrum gelombang mikro.

“Misi-misi merangkumi pelbagai instrumen yang berupaya untuk memantau daratan, lautan dan atmosfera,” tulis ESA dalam laman webnya.

Perkara ini termasuk lautan, perhutanan dan lebih spesifik, lautan ais, geologi, fenomena gelombang batimetri, kejadian meteorologi dan beberapa bidang saintifik yang lain.

Satelit ERS-2 bumi
Kredit: Agensi Angkasa Eropah

Dua satelit dilancarkan untuk program ERS

Menurut ESA, program ERS terdiri daripada dua misi iaitu ERS-1 dan ERS-2 yang dilancarkan pada orbit yang sama. ERS-1 dilancarkan pada 1991, manakala ERS-2 pula dilancarkan pada 1995.

Kedua-duanya direka sebagai ‘kembar seiras’ tetapi memiliki satu perbezaan yang ketara dan penting. Satelit ERS-2 memuatkan satu instrumen ekstra iaitu GOME yang direka untuk memantau lapisan ozon pada atmosfera bumi.

Disebabkan kedua-dua satelit berkongsi orbit, ERS-1 dan ERS-2 menjalankan misi bersama secara serentak. Misi yang dijalankan serentak itu telah memberikan ukuran bagi radar altimeter sebanyak dua kali.

Lebih penting, pengambilan bacaan ukuran yang dibuat lebih daripada sekali merupakan asas bagi mendapatkan peta 3D bagi permukaan daratan bumi dengan lebih tepat.

Selepas berkhidmat selama sembilan tahun dengan cemerlang, misi ERS-1 telah disahkan tamat pada 10 Mac 2000.

Sejak pelancarannya pada 17 Julai 1991, ERS-1 telah menghasilkan 45,000 orbit dan meraih lebih daripada 1.5 juta titik Radar Apertur Sintetik (SAR).

Manakala, ERS-2 telah menjalankan misi selama 16 tahun, tiga tahun lebih lama daripada jangkaan. Satelit ini tidak digunakan sejak 5 September 2011, susulan tahap bahan api yang rendah.

Sejak dilancarkan pada 21 April 1995, ERS-2 telah membuat 85,000 orbit dan mengembara lebih dari 3.5 bilion kilometer (km).

BACA: Ini Sebab Presiden Indonesia Tak Boleh Berkhidmat Lebih Dua Penggal

Sumber: Agensi Angkasa Eropah

The post Bakal Jatuh Ke Bumi, Kenali Satelit ERS-2 appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*