Dapat Semula Lepas 4 Tahun, Pemilik Wang Kertas RM50 Ditemui

Pemilik wang rm50 ditemui

Dapat Semula Lepas 4 Tahun, Pemilik Wang Kertas RM50 Ditemui

Pemilik bagi wang kertas RM50 yang menjadi tular di media sosial kerana dianggap paling bermakna telah ditemui, lapor Sinar Harian.

Nur Hidayah Mohamad, 25, merupakan pemilik wang kertas RM50 yang merupakan wang terakhir diterima daripada arwah bapanya.

Wanita berasal dari Jabor, Kemaman ini tidak menyangka bahawa dirinya dapat memegang sekali lagi wang kertas istimewa tersebut.

“Saya sendiri tak sangka dapat semula duit ini selepas empat tahun,” ujarnya.

Kata Hidayah, bapanya telah meninggal dunia disebabkan penyakit buah pinggang. Berkenaan dengan wang terbabit, wanita itu mengakui bahawa dirinya terpaksa menggunakan duit tersebut selepas beberapa bulan disebabkan keadaan mendesak.

“Ketika itu hanya duit tersebut yang tinggal dalam beg duit dan nak pergi ke mesin ATM agak jauh.

“Saya terpaksa guna dan pada masa itu dalam hati sudah terdetik Insya-ALLAH boleh dapat semula selepas ini,” kata Hidayah.

Namun, penantiannya berakhir apabila dirinya ternampak hantaran yang dibuat oleh pengguna Facebook, Tuah Lim pada minggu ini.

Ekoran itu, dia merasa gembira dan bersyukur selepas menerima semula wang berkenaan daripada pengguna Facebook yang dikenali sebagai Mohd Azfarul Zainol Akmar pada hari ini.

“Ketika tular hari itu, melihat tarikh dan ayat yang tertera menyebabkan saya yakin itu duit saya dan menghubungi Mohd Azfarul di Facebook.

“Saya akan jaga sebaik mungkin selepas ini kerana ia duit belanja terakhir yang diberikan oleh arwah ayah, banyak kenangan untuk saya,” katanya.

Sementara itu, Mohd Azfarul yang merupakan seorang pekerja swasta turut menzahirkan rasa lega dan bersyukur.

Selepas memuat naik hantaran tersebut, lelaki berusia 35 tahun akhirnya dapat menyerahkan semula wang tersebut kepada tangan yang sepatutnya.

“Syukur kerana segalanya sudah berakhir, pemilik pun dapat ditemui.

“Saya serahkan duit ini kepada Nur Hidayah selepas meneliti bukti-bukti dan tarikh kematian ayahnya di pelbagai platform media sosial miliknya,” jelasnya.

RM50 Paling Bermakna, Lelaki Cari Pemilik Asal

Terdahulu, Mohd Azfarul telah menjumpai wang berkenaan ketika mengeluarkan wang di mesin pengeluaran automatik (ATM) di sebuah stesen minyak di Gambang dalam lingkungan 4.15 petang pada Isnin lepas.

Wang tersebut memiliki tulisan tangan bertulis ‘Duit last ayah bagi,11/5/20 al-Fatihah’, yang sudah semestinya memiliki sejarahnya yang tersendiri.

RM50
Kredit: Facebook

Lelaki itu kemudiannya telah membuat hantaran di Facebook miliknya bagi menjejaki pemilik wang tersebut. Seusai membuat hantaran berkenaan di media sosial, hantarannya telah menjadi tular dalam kalangan pengguna.

Warga maya telah giat berkongsi hantaran tersebut dengan harapan agar wang kertas istimewa ini dapat dikembalikan kepada pemilik asalnya semula.

BACA: Bomba Hilang: Suami Kata Hari Gaji Nak Bawa Anak Beli Baju Sekolah – Isteri

Sumber: Sinar Harian, Tuah Lim via Facebook

The post Dapat Semula Lepas 4 Tahun, Pemilik Wang Kertas RM50 Ditemui appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*