BAM, Ee Yi-Yew Sin sudah berdamai

KUALA LUMPUR – Isu antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan beregu lelaki profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin boleh dianggap selesai selepas kedua-dua belah pihak mengadakan perjumpaan sebelum ini.

Hubungan kedua-dua pihak sebelum ini dikatakan agak bergolak selepas pihak BAM ada melakukan kesilapan teknikal dengan mendaftarkan nama pemain lain bersama Yew Sin bagi menyertai kejohanan Indonesia Masters 2023.

Beregu No.7 dunia itu mengakui, jalan penyelesaian sudah pun dipersetujui kedua-dua pihak, namun mereka tidak boleh mendedahkan cara penyelesaian tersebut.

“Semuanya sudah selesai, tambahan pula BAM sudah mengemukakan permohonan maaf dan kami juga tidak mahu panjangkan isu ini. Sekarang kami boleh fokus terhadap persiapan untuk menghadapi kejohanan akan datang,” kata Yew Sin.

Terdahulu, BAM membuat permohonan maaf kepada gandingan tersebut selepas berlaku kesilapan di pihak badan induk sukan badminton negara itu berhubung pendaftaran untuk kejohanan Indonesia Masters yang dijadualkan berlangsung 24 hingga 29 Januari ini.

Berdasarkan senarai nama yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), nama Yew Sin didaftarkan dengan seorang pemain tidak dikenali, Chee Yik Shen dan bukannya Ee Yi, sekali gus menyaksikan mereka tidak beraksi di Indonesia Masters.

“Memang sah kami tidak akan bermain pada kejohanan Indonesia Masters nanti dan akan menyertai Thailand Masters di Bangkok meskipun pada awalnya kami tidak beraksi di sana,” ujar Ee Yi.

Sementara itu, Ee Yi-Yew Sin turut mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua kejohanan Terbuka Malaysia selepas mencatat kemenangan beregu China, Ren Xiang Yu-Tan Qiang 21-13, 20-22, 21-15 di pusingan pertama hari ini. – KOSMO! ONLINE

The post BAM, Ee Yi-Yew Sin sudah berdamai appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*