Bawa Anak Berkhatan Di Fasiliti Berdaftar Dengan KKM – Dr DZulkefly

kkm garis panduan selamat berkhatan

Bawa Anak Berkhatan Di Fasiliti Berdaftar Dengan KKM – Dr DZulkefly

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan pihaknya memandang serius mengenai peningkatan bilangan kes rujukan ke hospital-hospital KKM bagi kanak-kanak yang mengalami komplikasi selepas berkhatan.

Justeru, ibu bapa dinasihatkan untuk membawa anak-anak berkhatan di fasiliti yang berdaftar dengan KKM.

Menterinya, Datuk Seri Dr DZulkefly Ahmad berkata pihaknya telah sedia maklum berkenaan keperluan berkhatan dalam kalangan kanak-kanak lelaki di Malaysia, khususnya penganut agama Islam.

“Berdasarkan hasil daripada audit berkhatan bagi kanak-kanak lelaki yang telah dijalankan oleh KKM pada cuti persekolahan yang lalu (iaitu pada 14 Disember 2023 sehingga 1 Januari 2024).

“Terdapat peningkatan bilangan kes rujukan ke hospital-hospital KKM bagi kanak-kanak yang mengalami komplikasi selepas berkhatan.

“Komplikasi-komplikasi ini terdiri daripada komplikasi minor (seperti pendarahan dan jangkitan kuman) dan komplikasi major (seperti kecederaan pada glans penis, keradangan melampau dan pemotongan kulit yang berlebihan) yang memerlukan pembedahan semula (corrective atau repair surgery).

“Komplikasi- komplikasi ini, sama ada major mahu pun minor sudah tentu akan mengakibatkan kegusaran dan kebimbangan di kalangan ibu bapa dan kanak-kanak,” katanya.

Dzulkefly menegaskan bahawa perkara ini turut membawa kepada gangguan mental dan menjejaskan perkembangan emosi kanak-kanak terbabit.

BACA: Siasatan Kes Zayn Rayyan Tidak Pernah Dihentikan – Pengarah JSJ Bukit Aman

“Ibu bapa juga dinasihatkan agar memastikan program berkhatan yang dijalankan adalah dikendalikan oleh pengendali dan pengamal perubatan yang berdaftar dengan KKM dan terlatih dalam menjalankan prosedur berkhatan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, ibu bapa yang bercadang untuk mengkhatankan anak di program anjuran yang dijalankan di luar fasiliti kesihatan perlu memastikan beberapa perkara terlebih dahulu.

Jelasnya, ibu bapa perlu memastikan agar anak yang bakal dikhatankan berusia tujuh tahun ke atas.

Hal ini kerana, kanak-kanak sudah menjadi lebih matang dan bersedia daripada segi mental. Mereka juga turut memiliki keadaan fizikal atau anatomi zakar yang normal dan sesuai untuk dikhatankan.

KKM menyeru agar ibu bapa mendapatkan nasihat doktor dan pakar perubatan bagi kanak-kanak yang tidak memenuhi kriteria di atas.

Golongan tidak sesuai untuk berkhatan di luar hospital

Selain itu, KKM turut menegaskan beberapa golongan yang mengalami masalah kesihatan, sekali gus menjadikan mereka tidak sesuai untuk menjalani prosedur berkhatan di luar hospital.

Antara masalah kesihatan yang terbabit iaitu:

1. Fizikal (anatomi) zakar yang tidak normal seperti Hypospadias, buried penis, phimosis dan sebagainya

2. Masalah pendarahan seperti hemofilia, Von Willebrand Disease dan lain-lain

3. Anak berkeperluan khas seperti Sindrom Down, Autisme, Cerebral Palsy dan sebagainya.

KKM turut menasihati ibu bapa agar tidak meneruskan prosedur berkhatan, jika anak tidak memberikan kerjasama semasa proses berjalan.

“Ibu bapa boleh membawa anak tersebut ke hospital yang berdekatan untuk mendapatkan nasihat dan rawatan selanjutnya.

“Ibu bapa juga digesa untuk membawa anak ke fasiliti kesihatan yang berdekatan sekiranya berlaku komplikasi selepas berkhatan seperti pendarahan, perubahan warna pada zakar atau kulit sekelilingnya, jangkitan kuman (seperti demam, sakit dan bernanah) dan tidak boleh membuang air kecil, serta apa jua kebimbangan yang dirasakan perlu mendapatkan khidmat nasihat daripada pengamal perubatan,” ujarnya.

Pada masa ini, KKM telah menubuhkan Kumpulan Kerja Teknikal yang terdiri daripada pengamal perubatan kerajaan dan swasta bagi pemantauan aktiviti berkhatan di Malaysia.

Perkara ini adalah untuk memastikan prosedur berkhatan yang dijalankan di Malaysia adalah selamat untuk kanak-kanak.

“Ini membuktikan komitmen dan kesungguhan KKM dalam memastikan tahap kompetensi pengamal perubatan yang menjalankan prosedur berkhatan dipantau secara berterusan.”

KKM nasihati ibu bapa agar jalankan prosedur berkhatan melalui premis kesihatan yang bertauliah

Dzulkefly menambah, pihaknya bertegas bahawa hanya pengamal perubatan di fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta yang terlatih dan kompeten sahaja yang dibenarkan menjalankan prosedur berkhatan.

Proses berkhatan yang dijalankan juga perlu menggunakan kaedah dan peralatan yang telah mendapat kelulusan daripada Medical Device Authority (MDA).

“Ini mustahak bagi memastikan prosedur ini adalah selamat dan bebas daripada sebarang komplikasi.” jelas Dzulkefly dalam kenyataannya.

Oleh itu, pihak penganjur program berkhatan di luar fasiliti kesihatan perlu memaklumkan penganjuran tersebut kepada KKM pada 9 Februari 2024.

“Oleh yang demikian, KKM berharap agar ibu bapa dan pengamal perubatan kerajaan serta swasta dapat mengambil langkah-langkah yang sewajarnya demi memastikan keselamatan anak anak yang menjalani prosedur berkhatan adalah terjamin,” ujarnya.

BACA: Elak Letak Dalam Beras, Apple Kongsi Cara Betul Keringkan iPhone Masuk Air

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) via X

The post Bawa Anak Berkhatan Di Fasiliti Berdaftar Dengan KKM – Dr DZulkefly appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*