Bekas penyelia ladang didakwa eksploitasi lima beranak sebagai buruh paksa

SEREMBAN – Seorang bekas penyelia ladang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan memperdagangkan lima beranak sebagai buruh paksa di Ladang Bukit Tinggi Rompin, Jempol antara 2008 hingga November 2021.

Tertuduh L.Jayaseelan, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Tamil di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Mengikut pertuduhan, Jayaseelan didakwa telah memperdagangkan satu keluarga yang melibatkan lima mangsa iaitu S.Veerasamy, 47, isterinya, A.K.Rajeswarii, 40, anaknya V.Shasikala, 20, dan V.Anbarasi, 23 serta menantunya, P.Aridasan yang bukan seorang kanak-kanak bagi maksud eksploitasi sebagai buruh paksa ladang untuk menyelesaikan hutang.

Kesalahan itu dilakukan di Ladang Bukit Tinggi Rompin, Jempol antara 2008 hingga 17 November 2021.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 15 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu dalam prosiding kes, tertuduh yang diwakili oleh peguam, M.Gobinathan memohon jaminan yang minimum ke atas anak guamnya atas alasan dia mempunyai masalah kencing manis dan sudah tidak bekerja sejak lima tahun lalu.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin bagi lima pertuduhan tersebut dengan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan.

Selain itu, mahkamah mengarahkan tertuduh supaya tidak menganggu mangsa dan mana-mana saksi pendakwaan sehingga kes selesai. Kes akan disebut semula 13 Februari depan.-KOSMO! ONLINE

 

The post Bekas penyelia ladang didakwa eksploitasi lima beranak sebagai buruh paksa appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*