Bersatu Terima Peletakan Jawatan Wan Saiful Sebagai Ketua Penerangan – Muhyiddin

bersatu peletakan jawatan wan saiful

Bersatu Terima Peletakan Jawatan Wan Saiful Sebagai Ketua Penerangan – Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) — Bersatu menerima peletakan jawatan Datuk Wan Saiful Wan Jan sebagai Ketua Penerangan parti, berkuat kuasa hari ini, kata Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata Bersatu menerima permohonan Wan Saiful secara lisan pada pertemuan pagi tadi dan surat rasmi peletakan jawatan itu akan dihantar hari ini.

“Pagi tadi selepas kita berbincang, beliau bersetuju untuk meletak jawatan itu… berkuat kuasa hari ini.

“(Keputusan itu) bukan kerana kita mengatakan dia sudah bersalah atau tidak, tetapi (sebagai) satu set standard yang ingin kita tunjukkan bahawa kerana (apabila) beliau berhadapan dengan pertuduhan (mahkamah) supaya tidak timbul apa-apa salah pandangan terhadap Bersatu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Dewan Rakyat hari ini, selepas menghadiri majlis pelancaran Misi dan Dana Bantuan Ahli Parlimen Perikatan Nasional Gempa Bumi Turkiye dan Syria di bangunan Parlimen hari ini.

Muhyiddin berkata Bersatu amat menghargai dan menyifatkan tindakan Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor melepaskan jawatan itu sebagai terhormat, kerana langkah itu akan menangkis tanggapan negatif terhadap parti itu.

“Dengan cara ini (melepaskan jawatan) kita dapat berhadapan dengan rakyat atas dasar yang bermaruah… ini bukan menghukum dia, dia buat (letak jawatan) secara sukarela…,” katanya.

BACA JUGA: Maksud Malaysia Madani, Slogan Baharu Negara Malaysia

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata Bersatu akan melantik seorang Ahli Majlis Tertinggi Bersatu untuk menggalas jawatan itu dalam tempoh segera kerana jawatan tersebut mempunyai tanggungjawab besar terutama dalam tempoh persiapan menghadapi pilihan raya negeri.

Awal hari ini, Datuk Wan Saiful mengumumkan hasrat untuk melepaskan jawatan Ketua Penerangan Bersatu susulan pendakwaan terhadapnya di mahkamah semalam atas pertuduhan rasuah.

Semalam, Wan Saiful mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen di sini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM6.9 juta berhubung projek Jana Wibawa.

Sementara itu, mengulas mengenai misi kemanusiaan membantu mangsa bencana itu, Muhyyidin berkata ia menyasarkan kutipan dana RM1 juta hasil sumbangan Ahli Parlimen PN serta pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk diberikan kepada mangsa gempa bumi.

Katanya, delegasi misi itu akan disertai 15 Ahli Parlimen PN serta dua wartawan yang dijadualkan berlepas ke Turkiye pada 2 Mac ini.

Sumber: BERNAMA

The post Bersatu Terima Peletakan Jawatan Wan Saiful Sebagai Ketua Penerangan – Muhyiddin appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*