Boleh Ke Buat Solat Sunat Tarawih Sebelum Solat Isyak? 

solat tarawih sebelum isyak

Boleh Ke Buat Solat Sunat Tarawih Sebelum Solat Isyak? 

Bulan Ramadan merupakan salah satu tempoh masa yang penting buat penganut agama Islam. Pada bulan ini, kita akan menjalani ibadah puasa wajib selama sebulan jika berkemampuan.

Pada masa ini juga, kebanyakan umat Islam mengambil peluang untuk meningkatkan amalan serta mengelakkan diri daripada melakukan sifat-sifat mazmumah.

Selain itu, kita juga berpeluang untuk menjalankan ibadah sunat, yang hanya eksklusif pada bulan Ramadan iaitu Solat Sunat Tarawih.

Rata-rata umat Islam akan menjalankan ibadah solat fardu isyak terlebih dahulu sebelum menjalani ibadah sunat ini.

Namun, pernah terfikir atau tidak sama ada solat sunat ini boleh didirikan sebelum solat isyak atau sebaliknya.

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri telah tampil memberikan jawapan bagi persoalan ini menerusi laman Maktabah al-Bakri.

Soalan

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan, kawan saya pernah pergi ke sebuah masjid pada malam Ramadhan dan imam telah pun selesai menunaikan solat Isya’, kemudian apabila imam memulakan solat tarawih, dia terus solat sunat tarawih tanpa mendirikan dahulu solat isya’, apabila imam telah selesai solat tarawih dan witir, dia pun bangun untuk solat isyak secara bersendirian. Adakah boleh seseorang itu solat sunat tarawih dahulu, kemudian baru mendirikan solat Isya’? mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua.

Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Perkataan “Tarawih” berasal daripada kata “Rawwaha”, yang ertinya berehat. Ibn Manzur dalam kamus Lisan al-Arab (1/615) berkata perkataan “Tarawih” adalah kata jama’ dari “Tarwihah” yang ertinya sekali berehat.

Maka dinamakan solat itu solat Tarawih kerana setiap 4 rakaat solat (iaitu dua rakaat-dua rakaat), disunatkan berehat kemudian diikuti dengan 4 rakaat berikutnya. Begitulah sehingga habis bilangan rakaatnya.

Pendapat ini juga dikemukakan oleh pengarang Anis al-Fuqaha’ (hlm. 34) iaitu al-Qunawi dan al-Khatib al-Syarbini dalam al-Iqna’ (1/117).

Terdapat pandangan yang menyatakan, ia diambil daripada kalimah marawihah yang memberi maksud berulang-ulang dalam perbuatan seperti kata Ibn Muflih.

Hukum solat tarawih adalah sunat muakkad iaitu sunat yang sangat dituntut.

Inilah pendapat mazhab Hanafi, Syafi’i, Hanbali dan sebahagian Maliki. Hukum ini termasuk kepada lelaki dan juga perempuan.

Ia termasuk dalam perkara menegakkan syiar agama. Menjawab persoalan di atas, waktunya adalah selepas solat Isyak sehingga masuknya fajar kedua atau waktu Subuh.

Adapun selepas dariapda solat Subuh ia tidak dikira solat tarawih.

(Lihat buku kami Solat Tarawih Fadhilat Hukum dan Hikmah, hlm. 17)

Solat Tarawih sebelum Solat Fardu Isyak

Solat Tarawih dan witir hanya boleh didirikan setelah terlaksananya solat fardu Isyak. Masanya bermula selepas solat Isyak sehingga masuknya waktu fajar.

Imam al-Nawawi berkata: “Waktu solat Tarawih bermula setelah selesainya solat Isyak. Manakala al-Baghawi dan selainnya menyebutkan bahawa waktunya berlanjutan sehingga terbitnya fajar.”

(Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/526)

Dalam kitab al-Insaf disebutkan: “Permulaan waktunya Tarawih ialah setelah solat Isya’ dan itulah yang disunnahkan, dan ini adalah pendapat yang kuat dalam mazhab Hanbali dan juga pendapat yang majoriti ulama yang diamalkan.”

(Lihat al-Insaf, 4/166)

Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin berkata: “Waktu Tarawih bermula daripada solat Isya’ sehingga terbitnya fajar.”

(Lihat Majmu’ Fatawa, 14/210)

Syeikh Abdul Aziz ketika ditanya soalan sebegini, beliau menjawab bahawa waktu solat Tarawih atau solat Qiyam Ramadhan ialah selepas Isyk.

Manakala solat-solat sunat yang dilakukan sebelum solat isyak dikira sebagai solat sunat sebelum Isyk. Solat sunat sebelum isyak ini dibolehkan tetapi ia bukanlah termasuk dalam solat Qiyam Ramadhan iaitu solat Tarawih.

Tetapi yang lebih utama baginya ialah dia memulakan solat fardu Isyak kemudian barulah bersama dengan imam bagi meneruskan solat tarawih tersebut.

Dia boleh solat Isyak berjemaah dengan imam yang sedang solat Tarawih, kemudian apabila imam memberi salam, dia perlu bangun untuk lengkapkan baki dua rakaat solat Isyak tersebut.

(Lihat Majmu’ Fatawa, 11/368)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa solat sunat yang dilakukan sebelum solat Isyak itu bukanlah termasuk dalam solat sunat tarawih atau solat sunat qiyam Ramadhan, tetapi ia dikira solat sunat biasa sebelum Isyak.

Justeru dalam hal ini, kami mencadangkan supaya jika seseorang itu terlewat hadir ke masjid dan imam sudahpun memulakan solat tarawih, maka dia perlu mengikut imam yang solat tarawih itu dengan niat solat fardu, apabila imam memberi salam, maka dia perlu bangun untuk melengkapkan baki rakaat solat fardhu Isyaknya.

Dalam hal bagi seorang yang solat fardu di belakang imam yang solat sunat, ia dibolehkan sebagaimana dalam mazhab al-Syafi’ie dan disebutkan sendiri oleh Imam al-Syafi’ie dalam kitabnya al-Umm (1/200-201).

(Lihat juga Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 4/181; al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/271)

Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin berkata: “Tidak mengapa bagi seseorang untuk solat Isya’ di belakang orang yang solat Tarawih. Imam Ahmad telah menetapkan bahawa jika seseorang yang masuk masjid di bulan Ramadan sementara mereka sedang menunaikan solat Tarawih, maka dia solat di belakang Imam dengan niat solat Isya. Ketika imam memberi salam daripada solat Tarawih, maka dia bangun melengkapkan baki rakaat solat Isya.”

(Lihat Majmu’ Fatawa, 12/443-445)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

BACA: Selalu Dengar Dalam MRT, Ini Rupanya Individu Di Sebalik Suara ‘Stesen Berikutnya..’

Sumber: Maktabah al-Bakri 

The post Boleh Ke Buat Solat Sunat Tarawih Sebelum Solat Isyak?  appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*