Buat laporan palsu gara-gara tak mampu penuhi kehendak isteri

PONTIAN: Seorang lelaki sanggup membuat laporan palsu dengan mendakwa disamun oleh dua lelaki di Jalan Parit Kassim, di sini pagi semalam gara-gara  menghadapi masalah kewangan dan gagal memenuhi kehendak isterinya.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad  Shofee Tayib berkata, pengadu mendakwa telah diacukan senjata berupa pisau dan dua lelaki tersebut  mengambil wang tunai sebanyak RM300 dan seutas jam tangan jenama G- Shock.

“Hasil siasatan yang dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Pontian, lelaki tersebut yang berusia 30 tahun kemudian ditahan kerana didapati telah membuat satu laporan palsu.

“Pengadu telah mengalami masalah kewangan dan gagal mengikuti kehendak isterinya yang meminta duit serta gagal menunjukkan lokasi sebenar kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Semalam tular dalam media sosial  laporan polis yang dibuat oleh pengadu, seorang penghantar makanan  mendakwa telah ditahan oleh dua lelaki yang menaiki motosikal Yamaha Lagenda berwarna kuning tanpa nombor pendaftaran.

Laporan polis tersebut mendakwa  kejadian berlaku pada pukol 9.30 pagi ketika pengadu melalui Jalan Parit Kassim menuju ke destinasi yang tidak dinyatakan dari kediamannya di Taman Sri Pinang, Jalan Parit Masjid.

Pengadu menyebut salah seorang lelaki telah menarik jaketnya sehingga terkoyak dan memaksa pengadu mengeluarkan dompet dan seorang lagi telah mengeluarkan senjata berupa pisau.

Mohammad Shofee, kes disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman enam bulan penjara atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

“Pihak polis akan mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang membuat laporan palsu. Undang-undang tidak menghalang individu membuat laporan polis, namun mestilah benar dan tidak direka-reka,” tegasnya. – UTUSAN

 

 

 

The post Buat laporan palsu gara-gara tak mampu penuhi kehendak isteri appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*