Ford Rancang Buang 3,200 Pekerja Kilangnya Di Jerman

Ford Rancang Buang 3,200 Pekerja Kilangnya Di Jerman

Syarikat gergasi automobil asal Amerika Syarikat dilapor merancang untuk mengurangkan sehingga 3,200 peluang pekerjaan di Jerman, kata Kesatuan IG Metall pada Isnin lalu.

Tambah kesatuan itu lagi, pelan tersebut mencetuskan kebimbangan mengenai masa depan kemudahan-kemudahan pengeluaran Ford di negara kuasa ekonomi Eropah itu.

Berita tersebut muncul ketika Kesatuan Eropah bimbang mengenai tindakan syarikat-syarikat yang dikatakan bakal memindahkan operasi masing-masing ke Amerika Syarikat berikutan pengenalan Akta Pengurangan Inflasi yang diluluskan negara ekonomi utama dunia itu baru-baru ini. Akta tersebut antara lain menawarkan potongan cukai bagi kereta elektrik dan bateri yang dilabel sebagai buatan Amerika Syarikat.

Jurucakap Kesatuan IG Metall memberitahu AFP, pengurangan tenaga kerja bukan sahaja berlaku di tapak pengilangan utama Ford di Cologne, malah turut melibatkan beberapa fasiliti lain milik syarikat tersebut di seluruh Jerman.

“Kami di IG Metall sangat risau mengenai masa depan divisyen-divisyen pembangunan di Jerman dan masa depan bagi keseluruhan tapak-tapak pengilanangan Ford di negara ini.,” katanya menerusi kenyataan kesatuan selepas mengadakan mesyuarat luar biasa bersama pihak pengurusan.

Selain tapak di Cologne, Ford turut memiliki pusat pembangunan berdekatan dengan Merkenich.

Walau bagaimanapun, syarikat automobil tersebut tidak memberikan apa-apa komen mengenai perkara ini.

Untuk makluman, pusat pembangunan Ford bertanggungjawab menghasilkan model untuk pasaran Eropah, yang mana sering membawa kejayaan kepada syarikat tersebut di peringkat global.

IG Metall berkata, tenaga kerja Jerman masih berupaya untuk menghasilkan kereta elektrik secara berterusan, sekiranya diberi peluang.

Namun keputusan yang diambil syarikat automobil asal Amerika Syarikat itu disifatkan sebagai berisiko terhadap masa depan syarikat tersebut, kata IG Metall dan menggesa syarikat pembuatan kereta itu untuk menilai semula keputusannya.

Terdahulu pada tahun lepas, Ford berkata pihaknya akan membuat pelaburan besar di Jerman dalam usaha untuk menjadikan semua kenderaan penumpang yang dijualnya di Eropah dikuasai enjin elektrik menjelang 2030.

BACA: Polis Cari Pemandu Atau Pemilik X70 Viral, Siasat Kes Kanak-kanak Keluarkan Separuh Kepala Dari “Sunroof”

Sumber: AFP

The post Ford Rancang Buang 3,200 Pekerja Kilangnya Di Jerman appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*