Bukan Manusia Pakai Kostum, Zoo China Nafi Pamer Beruang Matahari Palsu

beruang matahari zoo china kostum

Bukan Manusia Pakai Kostum, Zoo China Nafi Pamer Beruang Matahari Palsu

Sebuah zoo di timur China telah menafikan sekeras-kerasnya dakwaan mengenai beruang matahari yang dipamerkan di premis berkenaan hanyalah ‘manusia yang dipakaikan kostum’ haiwan terbabit.

Penafian ini dibuat selepas tular sebuah video yang memaparkan seekor beruang matahari Malaya berdiri tegak, seakan-akan manusia.

Difahamkan, video berkenaan telah menjadi tular dan mencetuskan pelbagai persoalan dan teori konspirasi dalam kalangan pengguna media sosial di China.

Menerima reaksi luar biasa daripada masyarakat, pegawai dari Zoo Hangzhaou mengatakan bahawa orang ramai tidak begitu memahami spesies berkenaan.

Perkara ini telah dinyatakan dalam satu kenyataan yang ditulis menerusi perspektif seekor beruang matahari yang bernama ‘Angela’.

“Saya Angela, seekor beruang matahari –Saya telah mendapat panggilan daripada ketua di zoo ini selepas waktu kerja semalam.

“Beliau bertanya jika saya menjadi malas dan ponteng kerja pada hari ini serta sama ada saya telah meminta manusia untuk menggantikan tempat saya.

“Biar saya jelaskan terhadap orang ramai bahawa saya adalah beruang matahari, bukannya seekor beruang hitam mahupun anjing. Saya seekor beruang matahari!,” jelas kenyataan terbabit.

Dalam video-video yang dikongsi menerusi laman Weibo, beruang matahari tersebut kelihatan berdiri tegak di atas batu sambil melihat sekelilingnya.

Ramai pengguna Weibo mendapati postur haiwan tersebut betul-betul tegak, serta memiliki beberapa ‘lipatan’ bulu pada bahagian belakang.

Hal ini menyebabkan beruang tersebut kelihatan aneh dan menimbulkan spekulasi terhadap kemungkinan bahawa ada manusia yang bertindak menyamar sebagai haiwan tersebut.

Mungkin kedengaran seperti percaturan yang tidak masuk akal, beberapa zoo di China pernah mendapat cemuhan orang ramai pada masa lalu kerana cuba menjadikan haiwan peliharaan seperti anjing ‘menyamar’ sebagai haiwan liar.

Pada 2013,  sebuah zoo di wilayah Henan telah mencetuskan kemarahan orang ramai apabila zoo berkenaan cuba untuk menggaburi mata-mata pengunjung.

Pihak zoo berkenaan cuba untuk membuatkan anjing baka Mastif Tibet kelihatan seperti seekor singa. Penyamaran tersebut terbongkar ketika para pengunjung terkejut apabila mendengar seekor ‘singa’ menyalak.

Bukan itu sahaja, para pengunjung di sebuah zoo berlainan di wilayah Sichuan turut dilaporkan terkejut apabila mendapati seekor anjing Golden Retriever duduk di dalam sangkar yang dilabelkan sebagai singa Afrika.

Untuk makluman, beruang matahari telah disenarai sebagai spesies terancam oleh International Union for Conservation of Nature (IUCN),

Haiwan ini juga telah dikategorikan sebagai haiwan-haiwan yang dilindungi  di negara asalnya seperti Malaysia.

BACA: Rumah 3 Bilik Tidur & 2 Bilik Air, Ada Enam Rekaan Boleh Pilih, Cara Mohon Rumah Mesra Rakyat

Sumber: CNN

The post Bukan Manusia Pakai Kostum, Zoo China Nafi Pamer Beruang Matahari Palsu appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*