Cinta Redza Rosli bukan persinggahan

KUALA LUMPUR: Pada usia mencecah 30 tahun, pelakon, Redza Rosli tidak mahu tergesa-gesa menamatkan zaman bujangnya dalam masa terdekat kerana masih banyak impian belum dicapainya.

Katanya, dia buat masa ini ingin memberi tumpuan kepada kerjaya dan membahagiakan kedua-dua ibu bapanya terlebih dahulu.

“Saya tidak mahu tergesa-gesa mendirikan rumah tangga. Buat masa ini, saya hanya mengikut arus dan menyerahkan perkara itu kepada ketentuan Allah SWT. Saya mahu fokus kepada kerjaya dan gembirakan ibu bapa terlebih dahulu.

“Kalau hendak mencari pasangan, biarlah yang terbaik agar hubungan itu berkekalan dan berpanjangan sehingga ke jenjang pelamin. Disebabkan itu, saya berdoa dipertemukan dengan pasangan yang betul-betul terbaik dan serasi.

“Saya tidak gemar dengan hubungan yang bersifat sementara. Jadi, biarlah jodoh yang tepat itu datang pada masa yang telah ditentukan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Disoal tentang wanita idamannya, kata Redza, dia mengimpikan seseorang yang memahami diri dan kerjayanya sebagai pelakon.

“Saya rapat dengan keluarga. Jadi, kalau mencari calon isteri, saya mahu yang hormat ibu bapa.

“Dia juga kena faham kerjaya saya dan boleh saling bertoleransi. Tidak kisah orang industri atau bukan, asalkan saling percaya dan memahami antara satu dengan lain,” katanya lagi.

Tambah Redza, buat masa ini, dia belum mencari calon isteri kerana berasakan perlu memperbaiki diri terlebih dahulu sebelum menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

“Saya ini ada kekurangan, jadi banyak perkara dalam diri yang perlu saya perbaiki. Sekiranya bertemu calon dalam masa terdekat, biarlah kami berkenalan terlebih dahulu.

“Kenal hati budi masing-masing sebelum ke fasa seterusnya. Saya akan kongsikan kepada umum apabila sudah benar-benar bersedia untuk berbuat demikian.

“Buat masa ini, tiada apa yang boleh saya katakan tentang jodoh dan percintaan kerana saya belum mencari pasangan hidup,” jelasnya.

The post Cinta Redza Rosli bukan persinggahan appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*