Cipta Kejuaraan “Double Treble”, Jasa Azraai Khor Untuk Kedah Tiada Galang Gantinya

Cipta Gelaran “Double Treble”, Jasa Azraai Khor Untuk Kedah Tiada Galang Gantinya

Hari ini, negara dikejutkan dengan pemergian permata berharga apabila jurulatih legenda Kedah Mohd Azraai Khor dilaporkan meninggal dunia sebentar tadi.

Difahamkan, beliau meninggal dunia akibat kegagalan jantung.

Oleh itu, artikel pada kali ini akan memfokuskan kepada latar belakang serta kejayaan yang dikecapi oleh beliau sepanjang melibatkan diri dalam menjadi jurulatih bola sepak.

Sedikit maklumat berkenaan Allahyarham, beliau merupakan anak jati Kedah dan mempunyai tiga orang anak, iaitu Mohd Firdaus, Siti Fairuz dan Nor Azryena hasil perkahwinan bersama isterinya, Rohani Ibrahim.

Azraai Khor, jurulatih tempatan pertama cipta sejarah double treble

 

Pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC (Kedah FA pada ketika itu) boleh dianggap sebagai salah sebuah pasukan terbaik dalam Liga Super sejak ditubuhkan kira-kira 99 tahun yang lalu.

Sejak 2004, Allahyarham diberikan tanggungjawab untuk memimpin skuad Hijau Kuning dalam saingan Liga Malaysia dan berjaya mempamerkan sifat jurulatih yang cemerlang selepas pasukan tersebut berjaya merangkul pelbagai kejayaan.

Tidak dinafikan sepanjang menjadi jurulatih bola sepak, Allahyarham yang berusia 71 tahun itu telah meninggalkan sejarah yang berharga untuk skuad pimpinannya ketika itu iaitu pasukan Kedah.

Nama beliau terpahat dalam lipatan sejarah bola sepak Kedah selepas berjaya menyapu bersih enam piala dalam tempoh dua tahun memimpin pasukan tersebut.

double treble azraai khor

Azraai menjadi satu-satunya jurulatih tempatan yang telah mencipta sejarah bola sepak di negara ini dengan kejayaan luar biasa selepas skuad pimpinannya merangkul kejayaan treble berganda (double treble) pada musim 2006/07 dan 2007/08.

Beliau berjaya meraih kejuaraan dalam Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia bagi dua tahun berturut-turut dan semestinya jasanya akan dikenang selamanya.

Pada 2006, Allahyarham telah dinobatkan sebagai Jurulatih Pilihan pada tahun tersebut dan menjadi Jurulatih Terbaik pada 2007 di Anugerah Bolasepak Kebangsaan 100 Plus-FAM.

Kejayaan tersebut sekali gus menjadikan ia kenangan manis buat Allahyarham. Tiga tahun selepas itu, beliau meninggalkan Kedah dan telah dilantik menjadi Jurulatih skuad Harimau Muda A pada 2010.

Selain kejayaan bersama Kedah, terdapat banyak kejayaan yang dikecapi oleh Allahyarham seperti menjuarai Piala Malaysia sebagai Jurulatih Negeri Sembilan pada tahun 2011.

Beliau juga pernah bersama pasukan Perak, Kelantan, T-Team dan Sabah.

Semoga jasa beliau dalam mengharumkan nama bola sepak diingati sampai bila-bila.

Sumber: Persatuan Bola Sepak Kedah/Facebook

The post Cipta Kejuaraan “Double Treble”, Jasa Azraai Khor Untuk Kedah Tiada Galang Gantinya appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*