COO dan konsultan syarikat warga UK buat tuntutan palsu direman

PUTRAJAYA – Dua individu warga United Kingdom (UK) direman selama enam hari kerana dipercayai membuat sejumlah tuntutan palsu berkaitan sebuah projek bangunan 41 tingkat di ibu negara yang bernilai RM389 juta.

Perintah reman sehingga 16 Januari depan itu dikeluarkan Majistret Irza Zulaikan Rohanuddin di Mahkamah Putrajaya di sini hari ini selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber, kedua-dua suspek berusia 50-an yang masing-masing merupakan Ketua Pegawai Operasi (COO) dan konsultan di sebuah syarikat pembinaan itu ditahan kira-kira pukul 3 petang semalam ketika hadir di ibu pejabat SPRM di sini untuk memberikan keterangan.

“Kedua-dua suspek dipercayai telah bersubahat membantu syarikat pembinaan tersebut mengemukakan sejumlah tuntutan palsu kepada sebuah syarikat pelaburan,” katanya hari ini.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Ujar beliau, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Di bawah seksyen tersebut, kedua-dua suspek boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai butiran palsu atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi jika disabitkan bersalah. – KOSMO! ONLINE

The post COO dan konsultan syarikat warga UK buat tuntutan palsu direman appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*