Didapati Bersalah Merogol, Dani Alves Dijatuhi Hukuman Penjara

dani alves penjara

Didapati Bersalah Merogol, Dani Alves Dijatuhi Hukuman Penjara

Mahkamah di Sepanyol memutuskan bekas pemain Barcelona dan skuad kebangsaan Brazil, Dani Alves bersalah atas pertuduhan merogol seorang wanita di sebuah kelab malam, lapor BBC.

Susulan itu, Alves dijatuhkan hukuman penjara selama empat setengah tahun selepas disabitkan bersalah dalam perbicaraan.

Sebelum ini, pemain berusia 40 tahun itu telah menafikan melakukan serangan seksual terhadap mangsa pada 31 Disember 2022. Para peguam yang mewakilinya juga telah meminta agar Alves dibebaskan dan pemain berkenaan akan membuat rayuan terhadap pertuduhan terbabit.

Selain menjatuhkan hukuman penjara, pihak mahkamah turut mengarahkan Alves untuk membayar ganti rugi €150,000 (RM774,993) kepada mangsa.

Mahkamah juga tidak menerima hujah yang dikemukakan oleh peguam Alves, yang menyatakan bahawa pemain itu harus dikenakan hukuman yang lebih ringan kerana dia mabuk ketika kejadian.

Menurut hujah balas mahkamah, pengambilan alkohol tidak menjejaskan kelakuannya.

Dalam masa yang sama, tindakan itu dilakukan tanpa kerelaan mangsa. Ia adalah berdasarkan beberapa bukti lain, selain keterangan mangsa yang membuktikan bahawa dirinya telah dirogol.

Tertuduh telah menukar keterangan beberapa kali sebelum disabitkan bersalah

Terdahulu, sejak kes berkenaan dibicarakan dari Januari 2023, Alves dilaporkan turut menukar keterangan beberapa kali.

Pada awalnya, dia menafikan mengenali mangsa dan selepas itu mendakwa telah bertemu dengan mangsa di dalam tandas. Ketika bertemu mangsa, Alves berkata tiada apa-apa yang berlaku antara dirinya dengan wanita berkenaan.

Kemudian, dia sekali lagi telah menukar keterangan dengan mengatakan hubungan seksual yang dilakukan adalah atas kerelaan mangsa.

Di Sepanyol, dakwaan jenayah rogol akan disiasat di bawah pertuduhan serangan seksual yang boleh membawa kepada hukuman penjara empat hingga 15 tahun.

Sebagai rekod, Alves telah bermain lebih daripada 400 kali untuk kelab Barcelona dan memenangi enam gelaran liga serta Liga Juara-Juara sebanyak tiga kali.

Pemain warganegara Brazil itu turut menjadi sebahagian daripada skuad kebangsaan Brazil ketika Piala Dunia 2022 di Qatar.

The post Didapati Bersalah Merogol, Dani Alves Dijatuhi Hukuman Penjara appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*