Medevac: JBPM Bantu Remaja Orang Asli Terkena Renjatan Elektrik Dapatkan Rawatan

Remaja orang asli renjatan elektrik

Medevac: JBPM Bantu Remaja Orang Asli Terkena Renjatan Elektrik Dapatkan Rawatan

GUA MUSANG, 25 Julai (Bernama) — Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) melakukan penerbangan pemindahan perubatan (Medevac), bagi membantu seorang remaja lelaki Orang Asli dari Kampung Pinchong, Pos Gob, untuk mendapatkan rawatan di Hospital Gua Musang selepas terkena renjatan elektrik akibat panahan kilat, semalam.

Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pangkalan Wilayah Tengah Subang, Selangor Mohd Hasrizal Kamaruzzaman berkata pesakit Mazlan Roslan, 18, dibawa menaiki pesawat jenis Agusta Westland (AW139) bersama seorang pengiring, pada pukul 5.38 petang.

“Pesakit menjadi kerap pengsan dan tidak sedarkan diri semenjak dua hari lalu, selepas terkena renjatan elektrik akibat kilat ketika mendengar lagu di telefon bimbit, sambil menggunakan fon telinga.

“Pesakit perlu diusung meskipun berada dalam keadaan sedar, berikutan dirinya yang tidak mampu berdiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

BACA JUGA: Medevac Bantu Kanak-Kanak Orang Asli Sesak Nafas Ke Hospital

Mengulas lanjut, Mohd Hasrizal berkata pesawat tiba di Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang pada pukul 5.55 petang, sebelum dibawa menaiki ambulans ke hospital.

“Kedudukan khemah dan bangunan berhampiran lapangan di Kampung Pinchong menyukarkan pendaratan. Keseluruhan jam penerbangan berdurasi selama tiga jam enam minit, dengan keadaan hujan lebat di sekitar Raub, Pahang,” katanya.

Sumber: BERNAMA

The post Medevac: JBPM Bantu Remaja Orang Asli Terkena Renjatan Elektrik Dapatkan Rawatan appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*