Digosipkan dengan hero drama, Sophia AlBarakbah rimas

PETALING JAYA – Pelakon Sophia AlBarakbah menjelaskan babak romantis yang tular melibatkan dirinya dengan Aliff Aziz dalam drama Ku Akad Kau Dengan Bismillah hanya lakonan semata-mata.

Sophia sekali gus mengakui tidak kisah sekiranya ada pihak menimbulkan fitnah kerana dosa perbuatan tersebut ditanggung oleh pihak yang menyebarkan perkara tidak betul tentang mereka.

“Kalau nampak ‘real on screen’, maksudnya kami berjaya menghidupkan watak itu.

“Sebagai pelakon, memang perlu ada rasa bangga dan berpuas hati dengan persembahan kita.

“Tidak kisahlah orang nak memfitnah kerana dosa mereka yang tanggung. Saya cuma mahu penonton tengok kami menerusi watak Raisya Hannah dan Luth Mikhail dalam cerita ini bukannya sebagai Sophia mahupun Aliff,” ujarnya.

Disebabkan perkara tersebut, Sophia, 30, mengakui dia berasa rimas kerana kerap digosipkan dengan aktor yang digandingkan dengannya dalam mana-mana drama.

Meskipun pelik gosip sama kerap menerjah dirinya, dia berpendapat hal tersebut mungkin tercetus kerana statusnya yang masih bujang.

“Tidak tahulah mengapa orang ramai suka gosipkan saya dengan hero drama, memang rimas.

“Mungkin semua itu tercetus kerana status saya masih bujang. Setiap hero yang digandingkan bersama saya pula semuanya sudah berkahwin,” katanya kepada Kosmo! Online hari ini.

Ujarnya lagi, dia tidak dapat menahan diri daripada memberikan yang terbaik dalam setiap lakonan agar kelihatan seperti realiti, bukannya aksi yang dibuat-buat.

“Sebagai seorang pelakon, semua yang dalam skrin perlu nampak seperti realiti terutama drama cinta.

“Apabila tiada jiwa, orang kata tidak pandai berlakon pula. Bila nampak serasi, orang kata seperti betul-betul bercinta pula.

“Jadi, macam mana ini? Bagaimana industri lakonan hendak berkembang,” ujarnya.

Menurutnya, disebabkan lakonan romantis bersama hero berstatus suami orang, dia juga sering menjadi mangsa kecaman orang ramai.

“Apabila digandingkan dengan pelakon sudah berkahwin, saya yang perempuan ini pula kena serang padahal tidak buat apa-apa pun.

“Kita perlu tukar mentaliti, takkan sebab sudah kahwin, heroin kena tempias fitnah and gosip.

“Disebabkan hal begini, heroin yang masih bujang akan jadi takut hendak bergandingan dengan hero berstatus suami orang,” katanya lagi.

Sejak minggu lalu, nama Sophia menjadi bualan ramai dalam media sosial selepas tular video promosi drama Ku Akad Kau Dengan Bismillah bersama Aliff.

Babak romantis dalam video tersebut mencetuskan rasa kurang senang ramai apabila Aliff dilihat menyentuh rambut Sophia.

Perkara itu mewujudkan kebimbangan umum yang risau episod hitam Aliff sebelum ini berulang kembali.

Sebelum ini, Sophia juga pernah didakwa mempunyai hubungan dengan pelakon Shah Jaszle yang juga hero dalam drama lakonannya, Cinta Hilang Kata. – KOSMO! ONLINE

The post Digosipkan dengan hero drama, Sophia AlBarakbah rimas appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*