Diraikan Pada Malam Ke-15 Tahun Baru Cina, Ketahui Sejarah & Kenapa Chap Goh Mei Disambut

Sejarah & Kenapa Chap Goh Mei Disambut

Diraikan Pada Malam Ke-15 Tahun Baru Cina, Ketahui Sejarah & Kenapa Chap Goh Mei Disambut

Tahun Baru Cina tidak akan lengkap jika tiadanya Chap Goh Mei. Selepas dua minggu meraikan Tahun Baru Cina, masyarakat Cina, khususnya di Malaysia akan menyambut satu lagi perayaan iaitu Chap Goh Mei.

Bagi individu bukan berketurunan Cina, mereka menganggap perayaan Chap Goh Mei sebagai perayaan biasa yang dimeriahkan dengan pelbagai pertunjukan.

Namun, bagi masyarakat Cina pula, perayaan Chap Goh Mei ini mempunyai makna berbeza dan disambut dengan cara tertentu.

Baca: Boleh Jimat Masa, Ini Cara Nak Buat Umrah 3 Kali Tanpa “Apply” Cuti Panjang

Gambar: Unsplash

Makna Chap Goh Mei

Perkataan chap goh bermaksud lima belas dalam dialek Hokkien. Kebiasaannya, perayaan ini akan diraikan pada malam ke-15 Tahun Baru Cina.

Untuk makluman, Chap memberi maksud sepuluh, Goh bermaksud lima dan Mei pula adalah malam.

Perayaan Chap Goh Mei ini juga dipanggil hari raya bulan purnama atau Pesta Tanglung (Yuan Xiao Jie). Tujuan perayaan ini adalah untuk menyambut musim bunga dan berdoa untuk hujan.

Rumah-rumah masyarakat Cina akan dihiasi dengan lampu dan juga tanglung pelbagai warna sebagai tanda pengakhiran Tahun Baru Cina.

Gambar: Unsplash

Dalam pada itu, budayawan bernama Jongkie Tio menjelaskan kepada CNN Indonesia bahawa Chap Goh Mei ini adalah perayaan menyambut musim bunga dan mengucapkan rasa syukur serta berharap supaya perayaan seterusnya akan lebih baik.

Kebanyakan masyarakat Cina juga mengadakan makan besar untuk nenek moyangnya dengan menyediakan makanan kegemaran mereka dan meletakkannya di dalam mangkuk yang berasingan.

Jongkie berkata, sambutan itu akan dimulakan dengan berdoa kepada Tuhan, kemudian memanggil roh nenek moyang melalui Dewa Bumi. Hal ini kerana mereka percaya bahawa nenek moyangnya ditanam di bumi.

Ahli keluarga dan saudara-mara yang berkumpul untuk makan besar turut disertai oleh nenek moyang. Selepas dua atau tiga jam, mereka akan membuang dua keping syiling untuk bertanya sama ada nenek moyang mereka sudah selesai makan atau belum, menurut Jongkie.

Jika kedua-dua syiling itu menunjukkan imej yang berbeza, bermakna nenek moyang telah selesai menikmati makanan tersebut.

Sejarah Chap Goh Mei

Sambutan Chap Goh Mei pada asalnya diadakan sebagai hari penghormatan kepada Dewa Thai Yi, yang dianggap sebagai dewa tertinggi di langit oleh Dinasti Han.

Seperti yang dipetik dari laman Tionghoa Info, sambutan itu hanya dilakukan secara tertutup sahaja di istana dan tidak diketahui umum oleh masyarakat Cina.

Apabila zaman Dinasti Han berakhir, perayaan ini menjadi lebih terbuka kepada orang ramai.

Selain itu juga, terdapat banyak lagenda dan mitos tentang tradisi perayaan Chap Goh Mei.

Menurut mitos dan tradisi perayaan Chap Goh Mei, wanita yang belum berkahwin akan melontar buah limau Mandarin bersama nama dan nombor telefon yang ditulis di buah itu ke dalam sungai untuk mencari jodoh.

Gambar: Astro Awani

Dipercayai bahawa sesiapa yang menjumpai dan mengambil buah tersebut, wanita itu akan mempunyai peluang untuk mendapat jodoh yang baik.

Suasana kemeriahan sambutan Chap Goh Mei

Gambar: Unsplash

Bagi mereka yang ingin menyaksikan suasana kemeriahan sambutan Chap Goh Mei, terdapat beberapa tempat menarik yang boleh dikunjungi. Antaranya ialah tokong Thean Hou yang terletak di atas Bukit Robson di Kuala Lumpur.

Memetik Tourism Malaysia, setiap tahun, beribu-ribu pengunjung mengunjungi tokong itu untuk berdoa kepada tiga dewa iaitu Dewa Laut (Thean Hou), Dewa Pantai (Swei Mei) dan Dewa Belas Kasihan (Kuan Yin).

Masyarakat Cina akan berpusu-pusu ke tokong tersebut untuk menyembah dewa-dewa dan mendapatkan berkat, malah pengunjung juga boleh meminum ‘air suci’ dari air pancur Kuan Yin untuk mendapatkan kesihatan dan nasib yang baik.

Di samping itu, Pulau Pinang juga merupakan salah satu daripada negeri di Malaysia yang meraikan sambutan Chap Goh Mei secara besar-besaran.

Sambutan Chap Goh Mei boleh dilihat pada setiap tahun di persiaran tepi laut Esplanade di George Town.

Selain daripada persembahan kebudayaan tradisional dan tarian singa, pengunjung juga berpeluang untuk menyaksikan wanita Cina yang belum berkahwin melakukan adat membuang limau Mandarin ke laut untuk mencari jodoh.

Sumber: CNN Indonesia, Tourism Malaysia

The post Diraikan Pada Malam Ke-15 Tahun Baru Cina, Ketahui Sejarah & Kenapa Chap Goh Mei Disambut appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*