Dr Zulkifli Jelaskan Hukum Berkongsi Rumah Sewa Berbeza Jantina Bukan Mahram Ketika Bercuti

hukum berkongsi rumah

Dr Zulkifli Jelaskan Hukum Berkongsi Rumah Sewa Berbeza Jantina Bukan Mahram Ketika Bercuti

Pada zaman ini, boleh dilihat percampuran antara lelaki dan perempuan semakin terbuka di mana rata-rata mereka tidak menjaga batas pergaulan antara satu sama lain.

Sebagai contoh terdekat yang boleh diambil ialah bercuti dengan rakan sekelas, lelaki dan perempuan kemudian tidur dalam satu rumah yang sama walaupun berlainan tingkat.

Tujuan perkara itu dibuat dengan alasan mahu menjimatkan kos perbelanjaan dan mahu melakukan aktiviti permainan bersama-sama.

Bagaimanapun adakah tindakan tersebut dibenarkan dalam Islam? Umum mengetahui, lelaki dan perempuan yang tidak mempunyai ikatan yang sah tidak boleh duduk serumah.

Namun, bagaimana dengan keadaan ini? Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri ada menjelaskan perkara itu dan juga hukumnya di dalam Islam menerusi Maktabah al-Bakri.

Telusuri jawapannya di bawah ini.

#2836: Berkongsi Rumah Sewa Antara Lelaki dan Perempuan Yang Bukan Mahram Ketika Bercuti

Kredit: Maktabah al-Bakri

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. haritu ada kawan sekelas ajak pergi trip selepas exam dan tidur di sebuah rumah yang disewa. Trip tersebut bercampur lelaki perempuan walaupun dalam rumah disewa itu lelaki dan perempuan tidur berasingan (perempuan level atas, lelaki level dibawah), atau di bilik berasingan hanya kawasan seperti dapur dan ruang tamu yang dikongsi. Mohon penjelasan dan hukum bagi situasi sebegini ustaz.

BACA: Dr Zulkifli Kongsi Panduan Ringkas Nak Pilih Calon Terbaik Masa Mengundi Pilihan Raya

Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ ‎﴿٣٠﴾ وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya;

Begitu juga, sabda Nabi SAW:

أَلَا لَا يَخْلُوَنَّ رجلٌ بامْرَأَةٍ إِلَّا كَانَ ثاَلثهُمَا الشَيْطَان

Maksudnya: Ketahuilah bahawa tidak sesekali bersunyi-sunyian seorang lelaki ajnabi dengan seorang wanita ajnabiyah kecuali datang yang ketiga di antara mereka berdua iaitu syaitan.

Riwayat al-Tirmidzi (2165)

Berkenaan isu ini, kami telah nyatakan dalam artikel sebelum ini:

#1774: Wanita Bersendirian dalam Lif Bersama Lelaki Ajnabi

#2593: Menolak Aktiviti Kemasyarakatan Kerana Percampuran Antara Lelaki dan Perempuan

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan hukum perkongsian rumah antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram adalah haramHal ini kerana ia boleh membawa kepada fitnah dan mendorong kepada perkara yang tidak sepatutnya sepertimana hadith di atas. Oleh itu, kami berpandangan sebaiknya, menetap di hotel yang berasingan bilik, jauh lebih baik dari satu rumah.

Isu seperti ini juga perlu diberi kecaknaan dan perhatian yang sewajarnya oleh para ibu bapa dalam mendidik anak-anak mereka terutamanya melangkah alam dewasa. Semoga sebarang tindakan mereka selaras dengan kehendak Allah SWT dan rasul-Nya serta mengikut neraca syariah.

Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang jelas dalam melaksanakan syariatnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً،وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً،وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahua’lam

Sumber: Maktabah al-Bakri

The post Dr Zulkifli Jelaskan Hukum Berkongsi Rumah Sewa Berbeza Jantina Bukan Mahram Ketika Bercuti appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*