Dulu Ejen Hartanah, Kini Jual Burger Tepi Jalan Demi Minat

burger tepi jalan

Dulu Ejen Hartanah, Kini Jual Burger Tepi Jalan Demi Minat

Kalau bercakap tentang kerjaya dan minat, tidak semua mahu menjadikan minat sebagai kerjaya, manakala sesetengah juga memilih untuk menukarkan minat sebagai sumber pendapatan utama dalam kehidupan.

Misalnya seperti Mohd Imran Mohd Izam, yang menukar kerjaya daripada mempunyai pendapatan tetap secara bulanan sebagai ejen hartanah kepada penjual burger di tepi jalan, di mana pendapatan bergantung kepada ‘usaha dan tawakal’.

Meskipun tahu rintangan berniaga ini agak luar biasa, namun Mohd Imran telah menetapkan hatinya dengan memilih untuk menjadi pengusaha Renee’s Burger sepenuh masa menggunakan resipi yang dibuat sendiri.

Kisah inspirasi Mohd Imran telah dirakamkan Siakap Keli menerusi segmen Ini Kisah Aku.

Demi minat, Imran buat keputusan jadi peniaga

Gambar: Siakap Keli

Memiliki Diploma dalam kursus perniagaan, Mohd Imran berkata pekerjaan lamanya sememangnya menjanjikan pendapatan yang tinggi namun ia tidak diterima oleh hatinya meskipun menunjukkan prestasi yang cemerlang.

“Ia hanya buat untuk dapatkan pendapatan sahaja.

“Macam Renee’s Burger ini saya memang gembira dan pendapatan juga okay Alhamdulillah.

“Kita berniaga gerai ini pendapatan hari-hari tidak sama. Kadang-kadang ada hari mencanak naik, ada hari memang tiada pulangan dan tidak menentu.

“Tapi ia mampu menampung kehidupan di mana semua komitmen juga dapat dibayar. Kalau tekun bekerja, sangat bekerja keras dan tidak kisah waktu dalam RM300 sehari boleh dapat,” katanya ketika ditemui Siakap Keli.

Gambar: Siakap Keli

Disebabkan hobinya yang suka memasak, rakan-rakannya juga tidak pelik apabila dia memaklumkan berkenaan dengan penukaran kerjaya.

“Sebenarnya, kawan-kawan saya memang selalu datang rumah sebab saya selalu masak dan panggil mereka ke rumah.

“Mereka tidak terkejut dan tahu saya ikut minat saya sendiri,” ujarnya.

Oleh kerana mahu perniagaan itu dekat dengan hatinya, Mohd Imran memilih untuk melakukannya semuanya sendiri termasuk menghasilkan bahan-bahan yang digunakan.

Dia turut memaklumkan bahawa resipi tersebut bukan diciptakan hanya untuk dijual malah ia memang wujud sebelum perniagaan itu dimulakan.

Gambar: Siakap Keli

“Burger ini kami buat bermula dari roti sehingga sos. Saya memang pandai memasak daripada dulu dan resipi ini memang saya punya sendiri.

“Saya bukan buat resipi semata-mata untuk dijual tetapi resepi ini memang sudah ada sebelum berniaga.

“Penyediaan saya buat setiap hari, kalau ada lebihan mungkin sedikit sahaja. Dalam sehari dalam 20 kilogram daging yang digunakan dan roti pula dalam 100 keping hingga 120 keping,” jelasnya.

Mohd Imran yang juga seorang bapa menjelaskan nama kedainya Renee diambil daripada nama anak perempuannya dengan hasrat supaya legasi itu diteruskan.

BACA: Tinggal Kerja Gaji RM10k, Tak Sangka ‘Donut Nenen’ Ubah Hidup Sekelip Mata

PKP punca kelahiran Renee’s Burger

Mohd Imran berkata Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang terjadi pada 2020 menjadi lembaran baharu untuknya memulakan perniagaan tersebut.

Menceritakan kembali, Mohd Imran berkata pada ketika itu dia hanya memasak secara suka-suka dan memuat naik di media sosial namun permintaan orang ramai membuatkan dia berfikir kembali tentang kerjayanya.

“Saya tiada niat untuk berhenti pun, masa PKP itu saya dan isteri hanya duduk di rumah. Dalam masa yang sama, saya ini suka memasak dan kongsikan di media sosial.

“Saya cakap ‘ini makan sendiri sahaja, bukan untuk orang’ tetapi mereka masih mahu memesan menu tersebut.

“Kami cuba untuk jual dan kemudian dapat sambutan. Kemungkinan para pembeli menghebahkan perkara itu dalam komuniti Cyberjaya dan buat keputusan buka pesanan seminggu sekali pada hari minggu,” ujarnya.

Gambar: Siakap Keli

Apabila mengenang kembali detik-detik lama, Mohd Imran berkata antara pengalaman yang tidak boleh dilupakan adalah semasa bulan Ramadan tahun lepas, di mana kedai burgernya telah dilanda ribut.

Imran turut mengakui perkara itu membuatkan dirinya berasa sedih kerana tidak dapat menjalankan perniagaan seperti biasa pada hari pertama puasa namun dia tidak berputus asa malah membeli khemah yang baru.

“Saya buat keputusan untuk tidak berputus asa, malam itu juga saya pergi ke kedai jual khemah dan hari kedua saya sambung berniaga,” katanya.

Apabila ditanya tentang perancangan masa hadapan, Imran mengimpikan untuk memiliki tempat pengeluaran besar dan membuka cawangan lebih banyak dengan menyediakan peluang pekerjaan kepada orang ramai terutamanya mereka yang minat untuk berniaga.

Bagi mereka yang ingin memberi sokongan kepada Renee’s Burger boleh membeli di Domain, Cyberjaya yang beroperasi pada 6 petang hingga 10 malam.

Saksikan temu bual penuh yang dibawakan Siakap Keli di bawah ini.

The post Dulu Ejen Hartanah, Kini Jual Burger Tepi Jalan Demi Minat appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*