Boleh Hidup Hingga 400 Tahun, Kenali Jerung Greenland

kenali jerung greenland

Boleh Hidup Hingga 400 Tahun, Kenali Jerung Greenland

Laut sememangnya menyimpan pelbagai hidupan dan misteri yang masih belum terjawab hingga kini. Lebih menarik, dua per tiga daripada permukaan bumi adalah lautan yang terbentang luas.

Jadi tidak hairan ia menyimpan pelbagai haiwan termasuk pemangsa seperti ikan Jerung. Sebut sahaja ikan Jerung, tentu ramai gerun dengan ikan ini lebih-lebih lagi ia mempunyai pelbagai spesies dengan pelbagai warna, saiz dan rupa paras.

Antaranya Jerung Greenland. Pernah dengar tak? Uniknya, ikan ini tidak tinggal di perairan laut biasa seperti jerung-jerung lain. Jadi di mana? Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, mari ikuti perkongsian di bawah ini.

Kenali Jerung Greenland

Gambar: Instagram @UNIEL85

Jerung Greenland atau nama saintifiknya, Somniosus microcephalus merupakan salah satu vertebrata yang paling lama hidup di planet ini.

Difahamkan, jerung ini boleh hidup selama hampir 400 tahun lamanya (392 tahun). Jangka hayat tersebut adalah dua kali ganda lebih lama umur haiwan darat iaitu kura-kura gergasi.

Sesuai dengan namanya, habitat asli jerung ini boleh ditemui di Greenland namun ia juga pernah dikesan hingga ke laut Caribbean barat.

Ikan ini juga dikenali dengan beberapa nama lain iaitu jerung kelabu, tanah, gurry atau jerung tidur kerana ia tinggal di lautan sejuk dan dalam.

Disebabkan itu, maklumat dan kajian mengenai haiwan ini kurang diketahui berbanding lebih 500 spesies jerung lain.

Kenapa Dipanggil Vertebrata Paling Lama Hidup Di Dunia?

Jerung Greenland
Gambar: 7news Belize via Digital Journal

Menurut saintis, jerung Greenland mempunyai jangka hayat sekurang-kurangnya 272 tahun dan boleh menjangkau hingga 392 tahun.

Disebabkan usianya yang panjang, haiwan ini lewat mencapai tahap kematangan seksual iaitu hanya berlaku sekitar umur 150 tahun.

BACA: Sambut “Birthday” Ke-191 Tahun, Kenali Jonathan, Kura-Kura Paling Tua Di Dunia 

Bukan itu sahaja, kadar pertumbuhan ikan ini juga sangat perlahan. Pada tahun 1936, seekor ikan ini telah ditandakan dan direkodkan semula 16 tahun kemudian.

Dalam tempoh tersebut, jerung Greenland hanya membesar 2.3 inci (5.8 cm) sahaja.

Habitat Jerung Greenland

Ikan jerung ini merupakan satu-satunya jerung yang tinggal di Lautan Artik selain di Atlantik Utara dan Artik tinggi Rusia dengan suhu antara negatif 2 hingga 7 darjah Celsius.

Ia jarang ditemukan di permukaan laut dan mampu hidup pada kedalaman 7,200 kaki (2,194 meter) di bawah laut.

Uniknya ikan ini mampu bertahan dalam air yang sejuk kerana tisunya yang mengandungi sebatian kimia yang tinggi. Ia bertindak sebagai anti-beku dalam badan ikan ini.

Rupa Paras, Makanan Dan Kelakuan Jerung Greenland

Jerung Greenland
Gambar: National Geographic

Dari segi fizikal, pemangsa laut beku ini berwarna kelabu gelap, coklat atau hitam dengan badan berbentuk seperti silinder menyerupai sebuah kapal selam.

Selain itu, ia juga mempunyai muncung yang bulat, mata yang kecil dan tiada sirip (bahagian bawah dubur).

Ikan ini boleh membesar hingga 23 kaki (7 meter) dan berat mencecah 1.5 tan. Sebagai perbandingan, jerung Greenland lebih panjang dan lebih ringan berbanding ‘sepupunya’ jerung putih, yang boleh membesar antara 15 kaki (4.57 meter) hingga 20 kaki (6 meter) dengan berat 2.5 tan atau lebih.

Jerung Greenland mempunyai gigi atas yang rapat, runcing dan lebih lebar. Manakala pada rahang bawah pula gigi berbentuk segi empat.

Rahang atas jerung Greenland digunakan untuk mencengkam mangsa dan gigi bawah untuk merobek ketulan daging mangsa. Vertebrata ini memburu pelbagai jenis ikan, sotong, dan bangkai dalam laut.

Penglihatan

Gambar: AFP

Meskipun mempunyai penglihatan yang lemah dan hampir buta akibat parasit (Ommatokoita elongata) yang melekat pada mata ikan ini, ia masih mampu bergantung pada deria lain untuk memburu mangsa di habitat gelap jauh di bawah ais.

Haiwan Terancam

Jerung Greenland tersenarai sebagai haiwan terancam oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam.

Sejak 1960-an, ikan ini diburu bagi menghasilkan minyak pelincir industri atau untuk minyak lampu dari hatinya.

Lebih memburukkan keadaan, kadar pertumbuhan perlahan, kematangan seksual yang lewat dan kadar pembiakan yang rendah menjadikan ikan ini semakin terdedah pada ancaman kepupusan.

Sumber: National Geographic

The post Boleh Hidup Hingga 400 Tahun, Kenali Jerung Greenland appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*