Mahkamah Sepanyol Putuskan Stampa Bersalah Hina Mahkamah, Dihukum Penjara Enam Bulan

Mahkamah Sepanyol Putuskan Stampa Bersalah Hina Mahkamah, Dihukum Penjara Enam Bulan

KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) — Penimbang tara ‘penyangak’ Gonzalo Stampa telah didapati bersalah menghina mahkamah dan dijatuhi hukuman penjara selama enam bulan oleh Mahkamah Sepanyol.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata mahkamah sama turut melarang Stampa daripada menjalankan tugasnya sebagai penimbang tara selama setahun.

“Usaha Kerajaan MADANI dalam menangani dan menghentikan Penipuan Kumpulan Sulu adalah tidak sia-sia.

“Kami bertungkus-lumus memperjuangkan kes ini demi menegakkan keadilan, dan akan meneruskan usaha untuk membatalkan Award Akhir,” katanya dalam akaun X.

Pada 25 Mei 2020, Stampa telah mengeluarkan Award Akhir berjumlah US$14.9 bilion (RM62.59 bilion) kepada lapan individu mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu yang tidak lagi wujud.

Bagi menguatkuasakan award itu, mereka dilaporkan telah cuba menyita aset syarikat minyak negara Petronas di Luxembourg dan Belanda selain menyasarkan aset diplomatik Malaysia di Perancis.

Pada Disember 2021, selepas pemindahan prosiding timbang tara dari Sepanyol ke Perancis yang tidak pernah berlaku sebelum ini, Malaysia yang mempunyai keyakinan penuh dan tidak berbelah bagi terhadap sistem keadilan Sepanyol, telah memfailkan aduan terhadap Stampa bersama-sama Pendakwa Raya Sepanyol atas alasan beliau telah menghina mahkamah apabila berulang kali mengingkari perintah Mahkamah Tinggi Sepanyol dan meneruskan tindakannya untuk membeli forum di negara lain.

BACA: Mahkamah Jerman Putuskan Pekerja Boleh Dipecat Jika Hina Ketua Dan Rakan Sekerja Di WhatsApp

Pada 11 Dis tahun lepas, mahkamah mendengar hujah kedua-dua pihak dan Kerajaan Malaysia telah menggesa Mahkamah Madrid agar menjatuhi hukuman penjara ke atas Stampa.

Azalina dalam kenyataan pada hari sama berkata Pejabat Pendakwa Raya Sepanyol dan Malaysia telah menuduh Stampa melakukan jenayah menghina mahkamah yang serius serta melakukan amalan profesional tanpa kelayakan.

“Kesemua pertuduhan ini adalah berdasarkan kepada fakta bahawa Stampa secara terbuka dan dengan sengaja mengingkari beberapa perintah yang mengikat daripada Mahkamah Tinggi Madrid,” katanya.

Azalina juga berkata susulan pembatalan pelantikan Stampa itu, Mahkamah Tinggi Madrid berulang kali memerintahkan beliau secara bertulis agar segera menamatkan timbang tara berkenaan.

“Bagaimanapun, Stampa enggan mematuhi perintah mahkamah dan bertindak mengingkarinya secara terang-terangan yang sekali gus menjejaskan kedaulatan undang-undang.

Sebelum ini, lapan warga Filipina telah memfailkan prosiding timbang tara di Sepanyol bagi menuntut berbilion-bilion dolar daripada Malaysia berhubung isu Sabah dan sebuah mahkamah di Madrid pada Mac 2019 telah melantik Stampa sebagai penimbang tara dalam kes itu.

Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah secara agresif membuat tuntutan balas terhadap kelapan-lapan individu.

Malaysia telah melakar kejayaan bersejarah dalam pertikaian berpanjangan itu apabila mahkamah di Luxembourg, Mahkamah Rayuan The Hague di Belanda dan Mahkamah Rayuan di Perancis serta Mahkamah Sepanyol membuat keputusan yang memihak kepada negara ini.

Sumber: BERNAMA

The post Mahkamah Sepanyol Putuskan Stampa Bersalah Hina Mahkamah, Dihukum Penjara Enam Bulan appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*