Empat Maut, Tiga Kritikal Selepas Dua Helikopter Bertembung

AUSTRALIA – Sekurang-kurangnya empat orang dilapor maut manakala tiga lagi cedera parah selepas dua helikopter bertembung sebelum terhempas di sebuah pantai di Australia.

Memetik laporan CNN, perlanggaran tersebut berlaku berhampiran kawasan pelancongan popular di Pantai Gold Coast, selatan Brisbane sekitar jam 2 petang waktu tempatan.

Menurut Inspektor Polis Queensland, Gary Worrell, pasukan perkhidmatan kecemasan mengalami kesukaran untuk mengakses kawasan tebing pasir yang terletak tidak jauh dari kawasan pantai.

“Kedua-dua pesawat yang berlanggar telah terhempas di tebing pasir tidak jauh dari Sea World Resort,” jelas pihaknya.

Kredit: Courtesy Nine News Australia via CNN

Menurut Perkhidmatan Ambulans Queensland (QAS), 13 orang dilapor menaiki dua helikopter tersebut. Daripada jumlah itu, empat orang disahkan maut, tiga cedera parah manakala enam lagi mengalami cedera ringan.

Malah, kesemua mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Dalam pada itu, pihak polis menjelaskan walaupun masih terlalu awal untuk menentukan punca sebenar kemalangan berlaku, siasatan awal mendapati sebuah helikopter telah berlepas manakala satu lagi mendarat apabila kedua-dua bertembung.

Kredit: EPA via Metro UK

Pihaknya turut menambah bahawa selepas nahas berlaku, polis dan orang awam yang berada di lokasi kejadian bergegas ke lokasi bagi membantu mangsa yang berada di dalam helikopter.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), Angus Mitchell berkata dalam satu kenyataan bahawa siasatan telah dimulakan berhubung perlanggaran yang berlaku itu.

Kredit: EPA via Metro UK

Jelasnya lagi, penyiasat dari pejabat ATSB di Brisbane dan Canberra akan dikerahkan ke tempat kejadian untuk mengumpul bahan bukti, memeriksa serpihan dan melihat tapak serta menemu bual saksi dan pihak yang terlibat.

Kredit: RACQ LifeFlight Rescue

Dalam pada itu, dia meminta orang ramai yang menyaksikan perlanggaran atau melihat helikopter tersebut supaya menghubungi penyiasat.

Bukan itu sahaja, laporan awal juga akan dibuat dalam tempoh enam hingga lapan minggu akan datang dengan laporan akhir selepas siasatan selesai dijalankan.

Sea World Drive turut ditutup kepada pengguna lalu lintas bagi mengelakkan pemandu dan pejalan kaki menggunakan kawasan tersebut.

Sumber: CNN, Metro UK

The post Empat Maut, Tiga Kritikal Selepas Dua Helikopter Bertembung appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*