Pekerja Warga Nepal Maut, Dipercayai Terjatuh Dari Ketinggian 70 Meter Di Tapak Pembinaan

Pekerja Warga Nepal Maut, Dipercayai Terjatuh Dari Ketinggian 70 Meter Di Tapak Pembinaan

PASIR GUDANG — Seorang pekerja warganegara Nepal dilaporkan maut dalam satu insiden selepas terjatuh dari tempat tinggi di sebuah tapak pembinaan semalam.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor dalam satu kenyataan berkata sepasukan penyiasat telah dikerahkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan selepas menerima maklumat mengenai kejadian membabitkan mangsa yang berusia 42 tahun itu sekitar jam 10.21 pagi.

“Daripada siasatan awal yang dijalankan, JKKP Johor mendapati bahawa mangsa merupakan pekerja sub-kontraktor yang dilantik bagi kerja-kerja membuka perancah di kawasan pembinaan tersebut.

“Ketika kejadian, mangsa telah terjatuh dari ketinggian 70 meter  ke aras bawah. Mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” maklum JKKP Johor.

Sementara itu, pihak JKKP Johor telah mengeluarkan notis larangan serta-merta berkaitan aktiviti kerja merombak perancah kepada pihak majikan.

Tambahan lagi, Arahan Larangan Kacau Ganggu di tempat kejadian turut dikeluarkan.

Hal ini berikutan bagi memberi laluan kepada siasatan lanjut dijalankan untuk mengenal pasti punca-punca kemalangan dan pihak yang bertanggungjawab ke atas kemalangan tersebut.

“JKKP Johor akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

“JKKP memandang serius terhadap setiap kemalangan yang melibatkan pekerja mahupun orang awam,” jelas JKKP.

Menurut kenyataan tersebut, majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja.

“Majikan bertanggungjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya-bahaya di tempat kerja, membuat penilaian risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja,” kata JKKP.

Hal demikian kerana ia bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan mengelakkan berlakunya kemalangan.

“Adalah tanggungjawab majikan untuk melaporkan kemalangan maut yang berlaku dengan serta-merta ke JKKP dengan cara yang paling cepat,” maklum JKKP lagi.

Sehubungan itu, pihak JKKP berharap kejadian seumpama ini dapat dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam garis panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC).

Sumber: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor

The post Pekerja Warga Nepal Maut, Dipercayai Terjatuh Dari Ketinggian 70 Meter Di Tapak Pembinaan appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*