Enam Daripada 130 Tahanan Lari Berjaya Diberkas

PUTRAJAYA, 2 Feb (Bernama) — Enam daripada 130 pendatang tanpa izin di Depot Tahanan Sementara Imigresen Bidor, Perak yang melarikan diri malam tadi berjaya diberkas.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata setakat 4 petang ini, empat tahanan telah ditahan oleh pihak berkuasa dan sedang menjalani proses verifikasi oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

“Kita teruskan usaha dengan kerjasama semua agensi keselamatan antaranya polis dan pasukan gerakan am untuk mengesan saki-baki tahanan dengan kekuatan 387 anggota,” katanya dalam sidang media khas di sini hari ini.

Penahanan dua lagi disahkan oleh Ketua Polis Daerah Tapah Superintenden Mohd Naim Asnawi.

Malam tadi, seramai 131 pendatang tanpa izin melarikan diri dari blok lelaki depot itu dan seorang daripada mereka dilaporkan meninggal dunia dalam nahas jalan raya.

Daripada jumlah tahanan yang melarikan diri itu, 115 adalah etnik Rohingya, 15 warga Myanmar dan seorang warga Bangladesh.

Ruslin juga berkata pengoperasian Depot Tahanan Sementara Imigresen Bidor kini ditutup sementara bagi membolehkan operasi mengesan saki-baki tahanan yang melarikan diri dilaksanakan sepenuhnya.

Selepas insiden itu berlaku, masih terdapat 435 pendatang tanpa izin di depot berkenaan.

Jabatan Imigresen kemudian memindahkan mereka ke enam depot tahanan antaranya Machap di Melaka, Lenggeng di Negeri Sembilan, Bukit Jalil di Kuala Lumpur, Kemayan di Pahang dan Langkap di Perak.

“Untuk makluman, depot di Bidor menempatkan 556 tahanan dan daripada jumlah itu, seramai 297 tahanan ialah etnik Rohingya.

“Tahanan lain tidak melarikan diri, mereka kekal berada di depot… dan kita memindahkan semua baki tahanan ke enam depot imigresen kekal di tempat lain,” katanya.

Sumber: BERNAMA

The post Enam Daripada 130 Tahanan Lari Berjaya Diberkas appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*