Kuala Lumpur: Harapan peminat untuk melihat tonggak lincah skuad kebangsaan, Faisal Halim beraksi di Pestabola Merdeka 2024 tidak kesampaian apabila namanya tiada dalam senarai 26 pemain dipanggil ketua jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti Vicente.
Vicente memuji cara pemain itu bangkit kembali untuk beraksi di atas padang bersama Selangor FC selepas melalui pelbagai cabaran dan dugaan sebelum ini akibat disimbah asid pada 5 Mei lalu.
Menurutnya, keputusan tidak memanggil Faisal atau Mickey itu kerana beliau ingin memastikan pemain itu benar-benar pulih daripada segala aspek agar benar-benar bersedia untuk menyarung jersi Malaysia.
“Saya gembira dia (Faisal) kembali beraksi, satu karakter yang baik dan semua (pemain) boleh belajar daripada apa yang dia lakukan untuk tampil semula ke padang.
“Keputusan ini (tidak memanggil Faisal) diambil selepas mempertimbangkan tahap kecergasannya yang masih dalam proses pemulihan.
“Walaupun Faisal menunjukkan peningkatan, kecederaan yang dialami masih memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya sebelum beliau boleh kembali beraksi di peringkat antarabangsa.
“Bila dia sudah bersedia nanti dan kembali ke prestasi sebenar, saya bersedia untuk bekerjasama dengannya,” kata Vicente pada sidang akhbar di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.
Selain itu, beliau melihat pemain dipilih kali ini mempunyai kelebihan masing-masing dan percaya mereka boleh bekerjasama untuk menampilkan aksi cemerlang di Pestabola Merdeka 2024.
“Selepas melihat prestasi mereka yang cemerlang ketika saingan Liga Malaysia, saya percaya gabungan pemain berpengalaman dan muda itu dilihat boleh memberi satu impak positif buat pasukan Malaysia kali ini,” katanya.
sumber: HM
Terdahulu, dalam senara 26 pemain dipanggil kali ini, lapan pemain disenaraikan semula ialah penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed selain Arif Aiman Hanapi, Romel Morales, Afiq Fazail, Azam Azmi Murad, Darren Lok, Harith Haiqal Adam Afkar dan Syafiq Ahmad.