Fenomena Istiwa A’dzam Berlaku Dua Kali Setahun, Jangan Risau Kalau Terlepas Hari Ini

istiwa a'dzam

Fenomena Istiwa A’dzam Berlaku Dua Kali Setahun, Jangan Risau Kalau Terlepas Hari Ini

Sebagai umat Islam, kedudukan kiblat di dalam rumah amat penting ketika melakukan solat kerana ia adalah salah satu daripada syarat sah solat melainkan individu itu berada dalam keadaan tertentu seperti berperang.

Disebabkan itu, umat Islam perlu menghadapkan mukanya ke arah Kaabah semasa mendirikan solat.

Tetapi, kedudukan kiblat juga dipercayai berubah-ubah mengikut putaran Bumi dan perkara itu perlu disemak semula dengan jabatan agama Islam negeri masing-masing supaya tidak terpesong dari arah yang sebenar.

Kadang-kadang, kita berasa tidak yakin dengan kedudukan kiblat di rumah dan memilih untuk menggunakan aplikasi telefon pintar bagi menentukan arah kiblat, selain kebiasaannya menggunakan kompas.

Pun begitu, penggunaan alatan tersebut tidaklah dihalang namun sebaliknya perlu digunakan dengan betul kerana ia amat sensitif dengan tarikan magnetik.

Namun pada hari ini, umat Islam kembali berpeluang untuk menyemak kedudukan kiblat di kediaman masing-masing.

Hal ini kerana berlakunya fenomena Isitwa A’dzam atau kedudukan Matahari berada tepat di atas Kaabah pada jam 5.18 petang tadi.

Peluang itu perlu direbut oleh umat Islam kerana ia hanya berlaku dua kali dalam setahun iaitu pada 28 Mei dan juga 16 Julai mengikut kalendar.

Fenomena Istiwa A’dzam

Istiwa A’dzam berlaku apabila kedudukan Matahari berada di titik zenith di mana nilai sudut Isitwa Matahari akan bersamaan dengan nilai latitud Mekah (Kaabah).

Jadi apabila Istiwa A’dzam atau Istiwa utama Matahari berlaku, bayang-bayang objek tegak secara tidak langsung akan menunjukkan arah ke Kaabah atau kiblat.

Waktu terbaik untuk mengukur atau menyemak arah kiblat untuk Malaysia ialah pada 5.18 petang untuk 28 Mei dan 5.26 petang untuk 16 Julai depan.

Fenomena ini juga adalah kaedah tradisional falak untuk menyemak dan menentukan kiblat di mana-mana kawasan yang ada di Bumi ini.

BACA: Nak Tambah ‘Followers’ Punya Pasal, Trend Kongsi Tips Pelik Di Media Sosial Makin Menjadi-jadi?

Panduan semakan arah kiblat

1. Buat di kediaman atau premis yang diingini

Semakan arah kiblat boleh dibuat di kediaman atau kawasan yang diingini pada waktu yang ditetapkan dengan layari laman web Sirim (mst.sirim.my) untuk waktu yang tepat di Malaysia.

2. Guna objek lurus dan tegak

Individu perlu menggunakan objek yang lurus dan tegak seperti tiang atau dinding atau tingkap rumah dan lain-lain. Perkara itu boleh juga dibuat menggunakan kayu lurus.

3. Bayang-bayang terhasil adalah arah kiblat

Kemudian, bayang-bayang yang terhasil daripada objek tersebut merupakan arah kiblat.

4. Tandakan arah kiblat

Tandakan arah tersebut menggunakan pen penanda atau pita pelekat supaya arah tersebut tidak lari daripada asal.

Sekiranya terdapat perbezaan apabila menggunakan aplikasi arah kiblat di telefon pintar, orang ramai perlu merujuk kepada Pegawai Falak, Jabatan Mufti Negeri untuk maklumat lanjut.

Bagi yang terlepas untuk menyemak arah kiblat pada hari ini, jangan risau. Anda boleh mencubanya lagi pada 16 Julai depan.

Untuk lebih lanjut, ikuti infografik yang disediakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan di bawah ini.

Kredit: Mufti WP

Sumber: Mufti WP (1), Jakim

The post Fenomena Istiwa A’dzam Berlaku Dua Kali Setahun, Jangan Risau Kalau Terlepas Hari Ini appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*