Fokus Di Kelas Bantu Remaja Autisme Cemerlang SPM

fokus kelas remaja autisme

Fokus Di Kelas Bantu Remaja Autisme Cemerlang SPM

KUANTAN, 8 Jun (Bernama) — Sentiasa fokus di kelas dan bertanya sehingga benar-benar memahami ajaran guru membuahkan kejayaan kepada remaja autisme Muhammad Aziq Asri apabila menjadi antara tiga calon berkeperluan pendidikan khas (CBPK) paling cemerlang pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 di Pahang.

Pada keputusan SPM 2022 yang diumumkan hari ini, seramai 15 CBPK memperoleh keputusan cemerlang iaitu sekurang-kurangnya 5A, berbanding keseluruhan 112 calon itu di negeri ini.

Muhammad Aziq, 18, anak bongsu daripada dua beradik memperoleh 2A+, 3A, 3A- dan 1B, juga mengakui tidak begitu memaksa diri untuk mengulang kaji pelajaran di rumah kerana lebih berminat bermain permainan video.

“Saya suka pastikan faham apa yang diajar guru… jadi memang cepat bertanya guru jika ada perkara tidak difahami, malah ada masanya (bertanya) berkali-kali sehingga betul-betul berpuas hati selain turut membuat semua latihan diberikan.

“Saya tidak mengikuti tuisyen, sebaliknya buat ulang kaji sendiri pada sebelah petang sebagai persediaan menduduki SPM,” katanya yang mengambil jurusan sains tulen kepada pemberita di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rangin di sini hari ini.

Muhammad Aziq yang ditemani ibu bapanya, Asri Mohd Din, 54, dan Marlia Thaalmudin, 48, dengan perlahan juga mengakui bimbang untuk mengambil keputusan SPM hari ini kerana merasakan soalan Matematik Tambahan agak sukar baginya.

BACA: Buang Sisa Kimia Ke Sungai Melaka, Kilang Elektronik Didenda RM30,000

Walaupun mengambil jurusan sains, Muhammad Aziq berkata dia sebenarnya lebih meminati mata pelajaran Sejarah dan berhasrat mahu mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi mencapai cita-cita bergelar pakar sejarah.

“Saya minat sejarah sejak kecil terutamanya yang berkaitan peperangan,” katanya dan diakui bapanya, yang menambah ‘anak syurganya’ mudah mengingati perincian berkaitan peperangan khususnya Perang Dunia Kedua yang merupakan subjek paling diminatinya.

Bagi Marlia, keadaan anaknya mula disedari pada usia lima tahun kerana tidak bercakap selain disahkan sukar memberi tumpuan apabila dibawa menjalani peperiksaan kesihatan yang akhirnya mengesahkan keadaan Muhammad Aziq.

“Saya mula lebih banyak membantu Aziq selepas disahkan doktor… sebelum itu pun, dari usia empat tahun, saya telah mula mengajar Aziq membaca dan mengira di rumah sama seperti yang dibuat kepada kakaknya.

“Mudahnya, Aziq tidak ada masalah, sebaliknya suka ke sekolah sejak kecil. Di rumah, dia kena diingatkan untuk membuat ulang kaji terutamanya bila hampir musim peperiksaan dan ada masanya, dia membaca sambil menonton televisyen,” katanya.

Sumber: BERNAMA

The post Fokus Di Kelas Bantu Remaja Autisme Cemerlang SPM appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*