Fyna Jebat dah nikah dengan Zainal Abidin

SHAH ALAM – “Alhamdulillah, saya telah bernikah. Harap doakan saya dan keluarga”.

Demikian pengakuan penyanyi Fyna Jebat berhubung spekulasi pernikahannya dengan bekas pemain bola sepak kebangsaan dan jurulatih, Datuk Zainal Abidin Hassan, 61.

Begitupun, pemilik nama sebenar Nur Syafinaz Jebat, 29, yang juga adik kepada pelakon Ayda Jebat itu enggan memperincikan butiran lanjut, termasuk termasuk tarikh perkahwinan.

Malah bekas peserta Akademi Fantasia sembilan (AF9) itu hanya menzahirkan penghargaan atas sokongan yang diberikan ramai.

“Terima kasih banyak-banyak, terima kasih atas komen yang baik,” katanya ketika ditemui selepas program realiti Famili Duo, malam tadi.

Ditanya mengenai pertandingan yang disertai bersama Ayda, akui Fyna, suaminya memberikan sokongan penuh.

“Sudah tentu dia (suami) bagi sokongan, sebab itu kami menang minggu ini,” ulas Fyna lagi yang meraih RM10,000 sebagai pemenang minggu ke empat bersama kakaknya sekali gus mengenepikan enam pencabar lain.

Sementara itu, Ayda turut menyatakan perasaan bangga dengan keberanian adiknya membuat pendedahan mengenai statusnya.

“Rasanya tiada apa yg perlu diceritakan. (Apa pun) saya berbangga apabila adik saya dapat dedahkan perkara ini kepada semua orang.

“Terima kasih kepada semua. Tugas kami sekarang adalah kepada Famili Duo,” katanya lagi

Terdahulu, spekulasi perkahwinan membabitkan seorang penyanyi dengan bekas jurulatih bola sepak berusia 60-an dilaporkan sebuah akhbar, baru-baru ini.

Menurut sumber, pernikahan pasangan terbabit hanya diketahui individu dan ahli keluarga terdekat sahaja.

Sebelum ini, Zainal berkahwin kali pertama sekitar tahun 1980-an dan dikurniakan tiga anak.

Zainal cukup terkenal sebagai penyerang skuad kebangsaan era 1980-an dan 1990-an yang membantu Malaysia meraih pelbagai kejayaan.

Hingga kini, Zainal tidak memberikan sebarang pengesahan berhubung berita perkahwinan mereka. – KOSMO! ONLINE

The post Fyna Jebat dah nikah dengan Zainal Abidin appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*