Gempa Bumi Gegar Jayapura, Empat Maut

Empat Terkorban Dalam Gempa Di Jayapura

Sekurang-kurangnya empat terkorban manakala sebuah kedai makan roboh dalam gempa bumi bermagnitud 5.4 di Jayapura, Indonesia hari ini, memetik laporan Detik.com.

“Ada sebuah kedai makan roboh dan empat maut. Mangsa berada di dalam kedai makan semasa kejadian berlaku. Bangunan itu serta-merta jatuh ke dalam laut (kafe berkedudukan di pinggir laut),” maklum satu kenyataan.

Difahamkan, gempa bumi dirasakan kuat selama dua hingga tiga saat sahaja menyebabkan orang ramai panik dan berlari keluar dari rumah mereka.

Bukan hanya itu, gegaran tersebut juga dikatakan telah mengakibatkan beberapa bangunan seperti rumah, kemudahan awam seperti Masjid Nurul Amin Doc V dan hospital runtuh sehingga beberapa pesakit di Hospital Kota Jayapura terpaksa dipindahkan.

Menurut Detik.com data mengenai jumlah  mangsa dan kerosakan masih dikumpul selain khemah kecemasan juga telah didirikan di kawasan tersebut.

“Kami dalam pasukan Pasukan Reaksi Pantas (TRC) akan memantau lokasi.

“Kami di sini (lokasi kejadian) telah membina khemah kecemasan, selebihnya pasukan Lembaga Pengurusan Bencana Kebangsaan (BPBD) Wilayah Jayapura akan turut membantu menguruskan mangsa di khemah tersebut,” katanya.

Empat Terkorban Dalam Gempa Di Jayapura
Kredit: Detik.com

Dalam situasi yang lain, pihak BPBD berusaha menenangkan penduduk di sekitarnya agar tidak panik supaya dapat bersiap sedia sekiranya ada gempa susulan yang berlaku.

Dalam kesempatan yang sama, pihak BPBD turut merayu orang ramai untuk memastikan laluan pemindahan keluar tidak dihalang oleh objek yang besar seperti almari, meja, peti ais dan sebagainya.

Sementara itu, Ketua Majlis Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) berkata, “Gempa bumi ini merupakan jenis gempa bumi cetek dalam kedalaman 10km yang berlaku pada 13:28 WIB disyaki berpunca daripada aktiviti sesar aktif.

“Hasil analisis mekanisme sumber menunjukkan gempa bumi itu mempunyai pergerakan gelongsor,” katanya.

Tambah Dwikorita, sejak 2 Januari 2023 sehingga kini (Khamis) terdapat 1,079 gempa bumi di Jayapura namun hanya 132 gegaran yang dirasai oleh penduduk.

“Daripada hasil kajian, gempa bumi ini dilihat tidak berpotensi mendatangkan ancaman tsunami,” katanya.

Sumber: Detik.com

The post Gempa Bumi Gegar Jayapura, Empat Maut appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*