Gempa Bumi Lemah Landa Beluran, Sabah Pagi Ini

gempa bumi beluran sabah

Gempa Bumi Lemah Landa Beluran, Sabah Pagi Ini

KOTA KINABALU — Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) memaklumkan gempa bumi lemah dengan kekuatan 3.5 Magnitud dilaporkan berlaku di laut di Beluran, Sabah.

Difahamkan, bencana tersebut dikesan pada jam 9.07 pagi tadi.

Jelas Met Malaysia, pusat gegaran berlaku pada koordinat 6.6 di Utara dan 117.4 darjah Timur dengan kedalaman 10 kilometer (km) di bawah laut.

Gempa turut dirasai sehingga 365 km ke Utara Tarakan, Indonesia.

Walau bagaimanapun, tiada ancaman tsunami dikeluarkan oleh Met Malaysia.

NRECC Ramal Kebarangkalian Gempa Berlaku Di Malaysia

Semalam, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) menjelaskan bahawa Malaysia mempunyai kebarangkalian untuk berlaku gempa bumi berdasarkan kepada bukti empirikal, lapor Bernama.

Oleh itu, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) menjalankan program libat urus dengan pihak berkuasa tempatan dan pihak berkepentingan dalam aplikasi penggunaan peta bahaya seismik.

Ia sebagai langkah mitigasi jangka panjang terhadap bencana alam itu.

BACA JUGA: Gempa Bumi Kuat Landa Utara Sumatera, Indonesia, Beberapa Negeri Mungkin Rasa Gegaran – MetMalaysia

“Program kesedaran awam juga dilaksanakan kepada pihak berkuasa negeri, penduduk tempatan dan sekolah yang terdedah kepada ancaman risiko gempa bumi,” lapor kementerian itu dalam satu kenyataan semalam mengenai perkara tersebut.

Tambah NRECC, pihaknya turut menyarankan input peta bahaya seismik dirujuk dalam reka bentuk struktur bangunan di Malaysia.

Sejarah Gempa Di Malaysia

Di Sabah & Sarawak

Untuk rekod, gegaran gempa bumi kuat pernah berlaku di Malaysia dengan kekuatan antara 6.0 hingga 6.3 skala Ritcher. Ia dilaporkan berlaku di Sabah pada 1923, 1958, 1976 dan 2015.

Sementara itu, gempa paling kuat pernah berlaku di Negeri Sarawak pula pada tahun 1996. Ia mencatatkan kekuatan 5.3 skala Ritcher.

Semenanjung Malaysia

Semenanjung Malaysia juga tidak terlepas dengan beberapa siri gempa bumi ini.

Antara kawasan yang pernah terkesan dengan gempa bumi termasuklah di Bukit Tinggi di Pahang, Empangan Kenyir di Terengganu. Selain itu, Kuala Pilah di Negeri Sembilan serta Manjung dan Temenggor di Perak juga tersenarai.

Julat kekuatan gegaran itu antara 1.6 hingga 4.6 skala Richter. Kesemua gempa ini berlaku pada 1984, 1985, 1987, 2007, 2009, 2010 dan 2013.

Sumber: Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia)

The post Gempa Bumi Lemah Landa Beluran, Sabah Pagi Ini appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*