Terkena tempias Syamsul-Sarah, Abby kesal kisah lampau diungkit

PETALING JAYA – Pelakon Abby Abadi terkilan sejarah silam perkahwinan lalu menjadi bahan ungkitan netizen setiap kali berita membabitkan kecurangan artis hangat diperkatakan.

Katanya, tindakan tidak sensitif segelintir pihak berkongsi maklumat salah secara tidak langsung mencetuskan fitnah baharu terhadapnya dan bekas suami, Norman Hakim.

“Oh Malaysiaku. Bila ada isu rumah tangga dalam kalangan artis, ada yang curang, saya mesti terkait. Buat video seronok-seronok pun macam-macam orang kata.

“Saya okey saja kalau cakap yang indah-indah. Ini memandai-mandai kata itu ini, siap bagi contoh kisah saya.

“Lepas itu sambung fitnah kepada saya dulu, macam saya pula yang bersalah,” katanya menerusi perkongsian video dalam TikTok.

Ibu kepada enam anak itu membuat perkongsian tersebut selepas namanya terkena tempias kontroversi rumah tangga pengarah, Syamsul Yusof dan Puteri Sarah Liyana.

Pemilik nama sebenar Arbaiyah Abdul Manan, 45, itu turut berharap tiada sesiapa memandai-mandai bercerita mengenai insiden lalu hingga memutarbelitkan fakta.

Menurutnya, dia tidak pernah menyerang mana-mana pihak seperti didakwa kerana pada ketika itu dia tidak tahu siapa yang menjadi orang ketiga dalam rumah tangganya.

“Kepada yang kata saya serang bekas suami di lokasi penggambaran, saya mencari saja sebab lama tak jumpa dan nakkan penjelasan. Tak ada bawa senjata apa pun.

“Bila jumpa orang kata saya marah, menangis, sudah tu? Takkan saya nak seronok-seronok kalau ex (bekas suami) tak balik dan sampai dah nak bercerai bagai?

“Aduh kakak-kakak, mak cik dan abang bawang, tolonglah jangan lebih tahu. Saya yang melaluinya, jadi jawapan dan segalanya semua dengan saya,” katanya.

Abby juga mengakui banyak rahsia silam yang hakikatnya disimpan sendiri tanpa pernah dikongsikan dengan sesiapa, termasuk ibunya.

“Apa yang saya boleh cakap saya tak bercerita banyak benda. Terlalu banyak! Simpan lama. Hanya saya dan Allah yang tahu. Keluarga pun tak tahu termasuk arwah mak dan ayah,” katanya.

Untuk rekod Abby mendirikan rumah tangga dengan Norman pada 2002 , namun memilih bercerai pada 2009.

Mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Mohamed Danish Hakim, Marissa Dania Hakim dan Danisha Hakim.

Abby kemudian bertemu jodoh dengan Muhammad Faizal Zakaria pada Ogos 2015, manakala bekas suaminya pula mengahwini pelakon Memey Suhaiza pada September 2011 dan dikurniakan tiga anak.

Kini kedua-dua keluarga Abby dan Norman yang menikmati hidup harmoni sehingga bercuti bersama-sama menjadi contoh kepada pasangan bercerai lain mengukuhkan ukhwah. – KOSMO! ONLINE

The post Terkena tempias Syamsul-Sarah, Abby kesal kisah lampau diungkit appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*