Aktiviti Laut Di Pulau Pangkor Ditangguh Susulan Ombak Besar

Aktiviti Laut Pulau Pangkor

Aktiviti Laut Di Pulau Pangkor Ditangguh Susulan Ombak Besar

IPOH — Susulan keadaan laut bergelora, aktiviti rekreasi dan sukan laut di kawasan pantai sekitar Pulau Pangkor terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu.

Memetik Sinar Harian, keadaan yang mencetuskan ombak itu dipercayai akibat kesan Siklon Mocha.

Menurut Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Syamsul Hazeman Md Salleh, Pantai Teluk Nipah merupakan kawasan perairan paling ketara dilanda ombak besar sejak empat hari lalu.

Tambahnya, negara ketika ini berada dalam fasa peralihan Monsun Barat Daya dan ia mempengaruhi keadaan yang berlaku itu.

Aktiviti Laut Pulau Pangkor Ditangguh Sementara

“Dalam fasa peralihan ini, beberapa tempat akan menerima tiupan angin yang meningkatkan potensi kejadian ribut petir dan hujan lebat serta angin kencang dalam masa yang singkat.

“Atas faktor keselamatan, sebarang aktiviti sukan air di kawasan Pangkor ini dihentikan sementara dan orang ramai telah dinasihati tidak menjalankan aktiviti di kawasan pantai terutama berlakunya ombak besar,” ujarnya pada hari ini.

Sehubungan itu,  pihak berkuasa akan menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa.

“Bendera merah juga telah dinaikkan sebagai peringatan berjaga-jaga kepada orang awam,” jelas Syamsul lagi.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pulau Pangkor, Muhammad Shukur Jamaludin memaklumkan tiada sebarang insiden kecemasan berhubung air dilaporkan dan masih dalam keadaan terkawal.

BACA JUGA: Cuaca Panas: 15 Kawasan Di Seluruh Malaysia Berada Pada Tahap Berjaga-Jaga

Menurutnya lagi, Pantai Teluk Nipah dan Pasir Bogak yang menjadi tumpuan ramai diberikan perhatian ketat. Ia bagi memastikan keselamatan pengunjung terjaga.

“Setakat ini belum ada lagi panggilan kecemasan mengenai insiden di air. Namun kita sarankan orang ramai elakkan aktiviti air sehingga keadaan reda agar tidak berlaku sebarang insiden tidak diingini.

“Bagi mereka yang berada berhampiran air, dinasihatkan untuk sentiasa memakai jaket keselamatan,” ujarnya.

Penduduk Setempat Kongsi Video Ombak Besar

Sementara itu, fenomena laut bergelora sehingga menghasilkan ombak besar turut dikongsikan oleh penduduk sekitar menerusi beberapa klip video.

Kejadian menyaksikan ombak yang terhasil lebih besar berbanding biasa. Ia juga didapati melimpah hingga ke laluan kenderaan.

MetMalaysia Keluarkan Amaran

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama di perairan Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selat Melaka Utara.

Difahamkan, kelajuan angin barat laut itu dianggarkan mencapai 40 hingga 50 kilometer sejam (km/j). Manakala ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter di di perairan tersebut.

Sehubungan itu, mereka yang ingin merancang melakukan aktiviti berkaitan rekreasi laut dan sukan laut serta menaiki bot kecil diminta untuk berwaspada.

Sumber: Sinar Harian

The post Aktiviti Laut Di Pulau Pangkor Ditangguh Susulan Ombak Besar appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*