Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Negara Perlihat Usaha Erat Tambah Baik Prinsip & Dasar Sistem Pendidikan Tinggi Negara

Hari Terbuka Pendidikan Tinggi

Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Negara Perlihat Usaha Erat Tambah Baik Prinsip & Dasar Sistem Pendidikan Tinggi Negara

Penganjuran Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Negara yang bertempat di perkarangan  Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Putrajaya berlangsung meriah dengan majlis  penutup disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof.  

Acara diadakan sebagai sokongan ke atas cadangan-cadangan Jawatankuasa  Menyemak & Mengkaji Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional (National Review  Committee atau NRC) yang ditubuhkan bagi menilai semula semua prinsip dan dasar  sedia ada dalam sistem pendidikan tinggi Malaysia.  

Jawatankuasa NRC berperanan mengenal pasti isu-isu yang menghalang sektor  pendidikan tinggi daripada mencapai potensi penuhnya, di samping membentangkan  cadangan untuk mengatasi isu-isu tersebut, dengan matlamat utamanya adalah untuk  mendorong kemajuan dan meningkatkan daya saing dalam ekonomi global yang  sangat kompetitif. 

Hari Terbuka Pendidikan Tinggi

Selain itu, program turut memberi peluang kepada orang ramai untuk memberi  pandangan dan maklum balas berkenaan cadangan yang diunjurkan oleh  Jawatankuasa NRC.  

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin dalam Perutusan  Tahun Baharu 2023 lalu menjelaskan, landskap pendidikan tinggi ketika ini dilihat lebih  rumit dan mencabar.  

Situasi ini mendorong kepada penubuhan Jawatankuasa NRC supaya ia dapat  memberi saranan penambahbaikan dalam tempoh tiga bulan.  

Dalam tempoh tiga bulan tersebut, Jawatankuasa NRC mengenal pasti 58 cadangan  utama daripada 874 isu awal.  

Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Sri Idris Jala, ini turut dianggotai oleh individu-individu berpengalaman dan  berkepakaran dalam sektor pendidikan tinggi. 

Ia termasuk Tokoh Akademik Negara daripada Institut Bioteknologi Kebangsaan  Malaysia, Datin Prof. Dr. Khatijah Mohamad Yusoff; pakar pendidikan tinggi global, Dr.  Jamil Salmi; Pengasas Bait Al Amanah, Dr. Abdul Razak Ahmad; dan Ketua Pegawai  Eksekutif, Universiti Teknologi dan Inovasi Asia Pasifik, Datuk Parmjit Singh. 

Pasukan petugas khas berkenaan pula dianggotai oleh wakil kementerian dan  universiti yang bertanggungjawab menilai semula keberkesanan dasar-dasar dan  polisi pendidikan tinggi kebangsaan sedia ada. 

Pada Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Negara ini, Jawatankuasa NRC  membentangkan lapan (8) syor tumpuan menerusi tiga (3) tema utama bagi  menghasilkan perubahan.  

Tiga (3) tema berkenaan iaitu penciptaan sistem berprestasi tinggi yang mampan,  penciptaan nilai untuk pelajar dan pembangunan bakat dan penciptaan tadbir urus  yang tangkas dan cekap. 

Selain itu ia termasuk pengenalpastian tujuh (7) tema umum yang menjadi penghalang  perkembangan sistem pendidikan tinggi negara iaitu peraturan ketat yang mengekang  perkembangan, proses tidak cekap yang menjadi punca kelewatan dan birokrasi,  ketidakselarasan keperluan industri dan kurikulum akademik, hala tuju yang tidak jelas  disebabkan jurang dasar dan polisi, sumber yang terhad, mekanisme pembiayaan  kurang memberi insentif kepada institusi yang menunjukkan prestasi tinggi serta  penguatkuasaan dan pelaksanaan yang lemah. 

Pelbagai pengisian menarik disediakan sepanjang Hari Terbuka Pendidikan Tinggi  Negara termasuklah Pameran Pendidikan Tinggi yang bertemakan ‘IPT Pemangkin  Pembangunan Negara MADANI’ seperti pameran Produk Inovasi IPT merangkumi  Kesihatan Awam, Keterjaminan Makanan, Teknologi Termaju dan Warisan Bangsa.  

Bagi menarik minat orang ramai juga, aktiviti interaktif turut disediakan seperti  pameran dron dan robotik, Teknologi Makerspace dan AR/VR, kuiz inovasi serta  perkhidmatan Klinik Bergerak Hospital Pengajian Universiti (HPU): Pergigian, Mata  dan Kesihatan Am.

Hari Terbuka Pendidikan Tinggi

The post Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Negara Perlihat Usaha Erat Tambah Baik Prinsip & Dasar Sistem Pendidikan Tinggi Negara appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*