Harimau Malaya belum tempang

PETALING JAYA: Skuad negara tidak panik biarpun ketika ini kekurangan pemain di posisi pertahanan menjelang pertemuan getir menentang Singapura, Selasa depan untuk merebut tiket ke separuh akhir Piala AFF 2022.

Malaysia sebelum ini sudah pun kehilangan Khuzaimi Piee yang mengalami kecederaan kaki ketika menentang Myanmar Rabu lalu, dan tidak dapat meneruskan baki aksi kejohanan.

Tidak cukup dengan itu, Azam Azmi Murad pula tidak dapat diturunkan kerana dilayangkan kad merah ketika perlawanan penuh kontroversi berdepan Vietnam di Hanoi, Rabu lalu.

Bagaimanapun, Shahrul Nazeem Zulpakar yang membarisi benteng pertahanan negara kekal optimis dengan taruhan pemain sedia ada dan merasakan Malaysia tidak perlu panik berdepan dengan Singapura.

“Mungkin ketiadaan mereka (Khuzaimi dan Azam) merencatkan sikit perancangan jurulatih (Kim Pan Gon), tetapi bagi saya dia sudah menyediakan perancangan lain.

“Seperti yang kita tahu setiap pemain ada pengganti, jadi saya rasa pasukan kami tidak tempang kerana semua yang dipanggil kali ini mempunyai potensi dan bagus.

“Kita wajib menang, tidak boleh seri, bagi saya, perlawanan itu tidak seharusnya dipandang mudah oleh rakan sepasukan yang lain, tiga mata menjadi misi kami untuk mela­yakkan pasukan ke separuh akhir,” jelas Shahrul ketika ditemui menjalani sesi latihan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kelmarin.

Sharul juga menerima jika Pan Gon menukar posisi pemain bagi menampung kekurangan pertahanan, seperti dilakukan ketika bertemu Vietnam apabila meletakkan pemain tengah, Brendan Gan di benteng.

“Saya tidak kisah bermain dengan siapa tetapi harap gan­dingan saya di benteng akan memberikan aksi 100 peratus,” tambah Shahrul.

Malaysia kini perlu me­rakamkan kemenangan ke atas Singapura selepas anak buah Takayuki Nishigaya berjaya mengikat Vietnam seri tanpa jaringan di Stadium Jalan Besar, Kallang kelmarin.

The post Harimau Malaya belum tempang appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*