Harimau Malaya Jatuh Tiga Anak Tangga

Harimau Malaya Jatuh Tiga Anak Tangga

Harimau Malaya Jatuh Tiga Anak Tangga

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) — Selepas mengalami peningkatan secara konsisten sejak Ogos tahun lepas, skuad Harimau Malaya akhirnya jatuh tiga anak tangga dalam kemas kini terbaharu ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Skuad bimbingan Kim Pan Gon itu yang berada di tempat ke-134 bulan lalu, terpaksa akur jatuh ke kedudukan ke-137 apabila mengumpul keseluruhan 1,096.72 mata selepas hanya meraih 1.82 mata dalam jendela perlawanan antarabangsa FIFA dari 9 hingga 17 Okt lepas.

Pada jendela perlawanan antarabangsa itu, Malaysia menewaskan India 4-2 pada aksi pertama Pestabola Merdeka 2023 di sini, namun tewas 0-2 kepada Tajikistan di final yang juga kekalahan pertama selepas tujuh aksi.

Kemas kini ranking itu bagaimanapun tidak menjejaskan Malaysia yang kekal berada di tempat ke-24 terbaik Asia dan muncul pasukan ketiga terbaik Asia Tenggara di belakang Vietnam (94) dan Thailand ke-112.

Filipina jatuh ke kedudukan ke-138, sementara negara jiran Indonesia dan Singapura masing-masing naik dua anak tangga ke posisi ke-145 dan ke-155.

Juara Piala Dunia 2022, Argentina kekal pasukan nombor satu dunia diikuti Perancis di tempat kedua, Brazil (ketiga), England (keempat) dan Belgium melengkapkan pasukan lima teratas.

Bagi zon Asia, lima pasukan terbaik adalah Jepun yang berada di posisi ke-18, Iran (21), Korea Selatan (24), Australia (27) dan Arab Saudi ke-57.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mempunyai misi untuk memastikan skuad Harimau Malaya menembusi kelompok 130 terbaik dunia pada hujung tahun ini.

Sebagai rekod, ranking Malaysia konsisten menunjukkan peningkatan sejak menghuni ranking ke-148 pada Ogos tahun lepas.

BACA: “Nyoot…Nyoottt”, Imbau Nostalgia, Rupanya Ini Pemilik Suara Watak Kartun Pingu

Sumber: Bernama

The post Harimau Malaya Jatuh Tiga Anak Tangga appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*