Hector Bidoglio Kembali Galas Tanggungjawab Ketua Jurulatih JDT

Hector Bidoglio jdt

Hector Bidoglio Kembali Galas Tanggungjawab Ketua Jurulatih JDT

JOHOR BAHRU, 29 Dis (Bernama) — Pengarah Teknikal Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) dan penasihat pasukan, Hector Bidoglio akan kembali menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih bagi menggantikan Esteban Solari.

Ketua Pegawai Eksekutif JDT Alistair Edwards berkata Bidoglio akan dibantu Penolong Jurulatih Pablo Ricchetti dan penolong jurulatih baharu dari Argentina serta kakitangan kecergasan dan perubatan yang akan menyertai kelab pada musim hadapan.

Beliau berkata Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak adalah antara individu yang akan menyertai barisan kejurulatihan Bidoglio.

“Bidoglio pernah berkhidmat seketika sebagai Ketua Jurulatih JDT dari Julai hingga Nov 2022 sebelum menjadi Pengarah Teknikal JDT.

“Beliau juga telah membimbing Harimau Selatan menjadi juara dalam Liga Super Malaysia, Piala Malaysia dan Piala FA pada tahun lepas,” katanya menerusi hantaran di Facebook Johor Southern Tigers hari ini.

BACA: JDT Pasukan “Underdog” Musim Depan – TMJ

Edwards berkata Bidoglio memulakan karier kejurulatihan dengan kelab Argentina, Newell’s Old Boys dan pernah menjadi jurulatih dalam divisyen teratas di Argentina, Peru dan Ecuador.

Selain itu, katanya Bidoglio pernah bersama beberapa kelab Sepanyol seperti Real Madrid, Barcelona, Sevilla dan Real Betis, di samping telah berguru dengan pengurus terkenal Marcelo Bielsa ketika bersama-sama pasukan kebangsaan Chile pada 2009.

Semalam, JDT mengumumkan Solari dan enam pemain termasuk Mohd Aidil Zafuan antara yang akan meninggalkan kelab itu sebagai langkah penstrukturan semula kewangan bagi memastikan kelangsungan jangka panjang kelab.

Pemain lain ialah S. Kunanlan, Ahmad Hazwan Bakri, Adam Nor Azlin, Leandro Sebastian Velazquez dan Diogo Luis Santo.

Sumber: BERNAMA

The post Hector Bidoglio Kembali Galas Tanggungjawab Ketua Jurulatih JDT appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*