Sangat risau skor indeks rasuah Malaysia merosot

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, Transparency International (TI) yang berpangkalan di Berlin, Jerman telah mengeluarkan Skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) bagi 2022. Skor kedudukan Malaysia merosot ke satu anak tangga dari 48 mata pada 2021 ke 47 mata pada 2022.

Menurut Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr. Muhammad Mohan, perkara paling penting untuk melihat CPI adalah pada skor atau mata yang diperoleh dan bukannya pada ranking (kedudukan Malaysia di tangga ke-61).

Lebih rendah skor bermaksud lebih tinggi kes rasuah berlaku dan kedudukan skor 47 yang diterima oleh Malaysia sangat merisaukan. Beliau merumuskan bahawa terdapat dua faktor utama yang menyumbang kepada penurunan skor terbabit.

Pertama, kurangnya kesungguhan politik bagi memerangi rasuah berdasarkan kepada pelaksanaan Pel21an Anti Rasuah Nasional 2019-2023 (NACP) dan kedua, kelewatan reformasi institusi yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan.

Sebenarnya, Malaysia boleh dilihat bersih dan berintegriti serta mampu meningkatkan skor dalam CPI sekiranya setiap pihak memainkan peranan masing-masing.

Jika ahli politik berkhidmat untuk rakyat dan bukannya bagi kepentingan diri sendiri pasti budaya rasuah dapat dikekang. Penjawat awam juga perlu menyediakan perkhidmatan kelas pertama kepada rakyat berlandaskan prinsip profesional dan berintegriti.

Anggota penguat kuasa mesti menguatkuasakan undang-undang tanpa rasa takut dan berpihak. Manakala agamawan harus jujur dan ikhlas dalam dakwahnya bagi memastikan masyarakat dapat dipimpin ke jalan yang benar.

Inilah kehidupan yang kita dambakan apabila segalanya dibuat atas prinsip integriti, telus dan tata kelola yang baik. Kerajaan dapat bergerak secara efisien dan efektif, perniagaan meningkat dan berkembang, negara menjadi makmur dan maju serta rakyat berasa selamat dan menikmati kualiti kehidupan yang tinggi. – UTUSAN

DR. MUHAMMAD HAFIZ BADARULZAMAN, Universiti Utara Malaysia (UUM)

The post Sangat risau skor indeks rasuah Malaysia merosot appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*